Diperas ugut, ditumbuk penyangkak jalanan

0

RISAU: Mangsa semasa ditemui di balai polis semalam.

KUCHING: Beralasan tidak berpuas hati selepas motosikalnya dipintas motosikal lain, seorang lelaki bertindak mengejar motosikal tersebut dan memeras ugut penunggangnya semalam.

Insiden dilaporkan menimpa seorang lelaki, 27, yang dikatakan dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di tHe Spring, Jalan Simpang Tiga di sini.

Menurut mangsa, dia ketika itu menunggang motosikal dari rumahnya di Taman Samarindah, Kota Samarahan sebelum memintas motosikal yang ditunggangi oleh suspek di bulatan Tabuan Jaya sekitar jam 12.30 tengah hari.

“Selepas saya memintas motosikal dia (suspek), saya menyedari dia terus mengekori saya sehingga di Jalan Wan Alwi. Saya terus memasuki satu simpang perumahan untuk bersembunyi.

“Bagaimanapun, dia (suspek) berjaya mengejar saya dan mengarahkan saya berhenti. Dia terus memarahi saya kerana katanya, saya berlagak ketika memintas motosikalnya.

“Bukan itu sahaja, dia turut menyuruh saya menyerahkan telefon bimbit saya kepadanya, tapi saya tidak mahu menyebabkan dia terus menumbuk saya dan kemudian meminta saya membayar ganti rugi,” kata mangsa.

Tambahnya, suspek hanya beredar dari tempat kejadian selepas dia menyerahkan wang RM40 kepadanya.

Mangsa yang risau akan berlaku perkara tidak diingini kemudian pergi ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.