Dua keluarga mangsa kebakaran bakal terima rumah baharu

0

ALOR SETAR: Tahun Baharu Maal Hijrah 1436 membawa sinar kepada dua keluarga mangsa kebakaran di kampung Alor Bangsa, Simpang Kuala dekat sini yang bakal menerima rumah baharu tidak lama lagi.

Rumah baharu itu merupakan sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat itu yang menelan belanja RM100,000.

Shuib Ismail, 62, berkata selepas rumahnya terbakar pada 5 Ogos lepas dia bersama isteri Hasnah Arifin, 59, serta dua anak perempuan berumur 23 dan 30 tahun terpaksa tinggal di surau berhampiran sebagai tempat berteduh.

Dia yang hanya melakukan kerja kampung dan berpendapatan tidak menentu, tidak mampu untuk membina semula rumah pusaka milik keluarganya berusia 42 tahun yang musnah terbakar dalam sekelip mata.

“Syukur Alhamdulillah ini hadiah tahun baharu Maal Hijrah kepada keluarga saya. Saya tak sangka dapat bantuan yang bermakna kepada saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Program Ziarah Asnaf TNB di kampungnya dekat sini semalam.

Rohani Arifin, 61, pula berkata dia berterima kasih kepada kepimpinan UMNO Bahagian Alor Setar yang bertungkus- lumus membantu bagi mendapatkan rumah baharu kepada mereka.

Katanya tanpa bantuan daripada pihak bertanggungjawab mereka tidak akan mendapat bantuan besar seperti itu dan kemungkinan akan terus tinggal dalam surau di kampung itu dalam tempoh masa panjang.

Sementara itu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata pembinaan rumah itu akan mengambil masa dua bulan.

Katanya kos pembinaan bagi sebuah rumah bernilai RM50,000 yang turut dilengkapi dengan kelengkapan perabot bagi membolehkan mereka dapat memulakan hidup dengan lebih selesa.

“Rumah batu setingkat dengan tiga bilik dan dua bilik air pasti memberi keselesaan kepada keluarga tersebut,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Bata.

Pada 5 Ogos lepas dua buah rumah berstruktur kayu dan batu di Kampung Alor Bangsa dekat sini musnah dalam kebakaran kira-kira jam 2.30 petang menyebabkan mangsa tinggal sehelai sepinggang.

Kesemua mangsa yang ada dalam rumah terlibat selamat dan tidak menghadapi sebarang kecederaan. — Bernama