‘Go Bald’ raih RM35,442 bantu dua badan kebajikan

0

KUCHING: Kuching Bodhi Path Society berjaya mengutip derma sebanyak RM35,442 melalui Kempen ‘Go Bald’ untuk membantu dua badan kebajikan yang amat memerlukan.

Menurut Bendahari Kuching Bodhi Path Society Irene Chu Soon Lin, pihaknya akan membahagikan sama rata jumlah kutipan itu kepada Shar Minub Monastery, Nepal dan Persatuan Kanser Kanak-kanak Sarawak (SCCS).

“Seramai 14 orang menyertai kempen ini dengan mencukur kepala serta memasang niat membantu mereka yang memerlukan.

“Seorang bayi berumur kurang daripada dua bulan merupakan peserta termuda dan yang paling tua berumur lebih daripada 50 tahun dicukur oleh pendandan dari Strandz Hair Boutique,” ujarnya ketika ditemui selepas program tersebut, semalam.

Irene sendiri mengakui beliau telah lama menyimpan hasrat untuk mencukur rambut dan secara kebetulan disapa oleh Judy, wakil dari SCCS dan pihaknya menganjurkan program itu dalam tempoh kurang sebulan.

Beliau turut berkongsi pengalaman melihat kesengsaraan kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun di Nepal yang ditinggalkan di tepi jalan atau di rumah ibadat Buddha.

Katanya, lebih kurang 100 kanak-kanak itu ditinggalkan ibu dan bapa kandung mereka kepada ‘Lama’ (sami) tokong untuk dibesarkan tanpa bantuan makanan dan wang secukupnya.

“Kanak-kanak merupakan masa depan dunia dan mereka menderita, apatah lagi kanak-kanak yang mengalami kanser, mereka tidak meminta untuk dilahirkan sakit dan kalau boleh kita mahu berikan mereka kegembiraan.

“Sesiapa yang memandang pasti akan berasa kasihan, mereka ditinggalkan tanpa belas kasihan dan bayangkan kanak-kanak ini tidak mempunyai tempat bergantung, malah kanak-kanak kanser turut mengalami penderitaan yang memeritkan dalam hidup mereka,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap SCCS dan Shar Minub Foundation di Nepal akan mendapat bantuan yang mencukupi secara berterusan daripada orang ramai di negeri ini.

Upacara memberkati sembahyang dijalankan oleh Residen Utama Kuching Bodhi Path Society, Lama Sherap Namgyal dibantu oleh Lama Jimpa Lodoe.