Hasidah cadang yayasan kanser payudara ditubuh

0

KUCHING: Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali mencadangkan agar yayasan kanser payudara ditubuhkan di negeri ini.

Inisiatif tersebut, jelasnya, adalah sebagai usaha mencontohi penubuhan Yayasan Jantung Sarawak (SHF) yang berperanan sebagai badan amal untuk membantu masyarakat yang memerlukan rawatan kanser payudara.

“Saya berharap, yayasan kanser payudara dapat ditubuhkan di sini seperti SHF yang telah lama ditubuhkan untuk membantu penghidap penyakit kanser payudara mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

“Malah, penubuhan itu juga dilihat sebagai usaha murni dalam memastikan golongan wanita di negeri ini khususnya didedahkan dengan pengetahuan umum dan menyeluruh mengenai penyakit kanser payudara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Minum Petang Pink Ribbon-Kempen Kesedaran Kanser Payudara sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Antarabangsa bertempat di Hotel Grand Margherita di sini, semalam.

Hasidah berkata, kepentingan menggandakan kempen mengenai penyakit kanser payudara dipercayai mampu menggalak lebih ramai golongan wanita yang menjadi kumpulan sasar penyakit itu untuk membuat pemeriksaan kesihatan lebih awal.

“Pemeriksaan awal mengenai kanser payudara sangat penting kerana kita semua tahu, pengesanan awal terhadap penyakit ini mampu mengubah hidup wanita yang menghidapinya pada peringkat awal,” tegasnya yang juga Patron Pink Ribbon Kuching.

Sementara itu, Presiden Pink Ribbon Kuching Suriani Rapaiee dalam ucapannya berkata, kumpulan sokongan berjaya menganjurkan Bengkel Payudara Prostheses (Payudara Palsu) yang mengajar penghidap penyakit itu menjahit payudara palsu.

“Saya baharu menyedari, payudara palsu memainkan peranan yang sangat penting buat penghidap kanser ini kerana ia mengekalkan tahap keyakinan diri dalam mengharungi kehidupan harian.

“Justeru, kami dengan bantuan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) berjaya menjahit payudara palsu untuk diagihkan kepada beberapa hospital di seluruh bandar raya ini,” jelasnya.

Menurut Suriani, Pink Ribbon Kuching bagaimanapun tidak pernah melupakan golongan wanita di pedalaman khususnya dalam penyebaran kempen kesedaran penyakit itu.

“Kami sentiasa bersedia dalam melaksanakan program pendekatan bagi meningkatkan kesedaran golongan wanita pedalaman seperti pekebun kecil dan orang kampung mengenai kepentingan membuat pemeriksaan dan pengesanan awal penyakit kanser payudara,” katanya.