Ilmu, kemahiran penting untuk kecapi kemajuan

0

PENGHARGAAN: Alexander (tiga kiri) menerima cenderamata daripada Dr Gluma (dua kanan) sambil disaksikan oleh Joseph (tiga kanan), Layang (dua kiri), Lidam (kanan) dan Demang.

Masyarakat Dayak perlu membudayakan amalan membaca dan belajar sepanjang hayat: Alexander

Oleh Kenka KN //

KAPIT: Timbalan Menteri Kemajuan Luar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi menggesa masyarakat Dayak supaya membudayakan amalan membaca dan belajar sepanjang hayat.

Katanya, kaum Dayak harus menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan jika ingin maju seperti kaum lain.

“Dalam dunia moden serba canggih dan mencabar kini, amat penting bagi  kita mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmi Seminar Kerjaya dan Motivasi Pelajar serta Ibu Bapa anjuran Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Kapit di SK Methodist di sini pagi semalam.

Alexander menjelaskan, mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan tinggi akan mengguna kepandaian itu bagi menceburi bidang perniagaan, ada kerjaya sendiri dan memperoleh kerja dengan mudah.

Katanya, justeru ibu bapa harus menyemai budaya minat membaca dalam kalangan anak masing-masing untuk meningkat ilmu pengetahuan seterusnya cemerlang dalam akademik.

“Kecemerlangan ini membantu meningkatkan taraf hidup mereka kerana orang yang banyak membaca mempunyai ilmu pengetahuan tinggi,” katanya.

Menyentuh polisi kerajaan berhubung pendidikan, Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit memberitahu, setiap tahun bajet sektor pendidikan merupakan paling besar diperuntuk kerajaan.

“Ini bertujuan memupuk usaha meningkat modal insan termasuk pelbagai latihan dan penyelidikan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Alexander, belia yang tercicir dalam pelajaran atau kurang cemerlang dalam akademik boleh mengambil peluang menjalani kursus ditaja Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Malah MARA turut memberi biasiswa kepada kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran atau teknikal,” katanya.

Justeru, kata Alexander, generasi muda Dayak perlu merebut peluang sedia ada, berfikiran terbuka dan mempunyai pengetahuan luas.

Sementara itu, pengerusi penganjur Layang Ugek dalam ucapan alu-aluannya memberitahu, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar Dayak terutamanya persediaan sebelum memasuk pengajian tinggi awam atau swasta.

Katanya, SDNU kini sedang berusaha membantu pelajar dan ibu bapa kaum Dayak dengan memberi input penting dan berguna dalam mendepani dunia globalisasi tanpa sempadan kini.

Tambahnya, penganjuran program itu amat tepat dan penting kepada pelajar terutamanya calon SPM dan STPM.

“Inilah peluang terbaik mendapatkan tip menjawab soalan. Namun, bagi mereka yang tidak berjaya dalam peperiksaan atau ujian, bukan bermakna mereka tidak berpeluang langsung. Sebab sekolah latihan atau kemahiran yang disediakan kerajaan banyak,” katanya.

Dua penceramah khas diundang SDNU ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Ketua Unit Pengurusan Kualiti UiTM Kampus Kota Samarahan Dr Gluma Saban dan Penolong Pengurus Perniagaan Komersial Bahagian Petronas Dagangan Berhad Sibu Lidam Assan.

Seramai 457 pelajar dan ibu bapa menyertai seminar tersebut termasuk 82 pelajar dari SMK Kapit No.2, SMK Kapit (135), SMK Selirik (150) dan ibu bapa (90).

Hadir sama Pengerusi SDNU Cawangan Kapit Joseph Jinggut, Guru Besar SK Methodist Demang Sawing, Pengerusi Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Kapit Rheinald Minor Panyau dan Timbalan YDP SK Methodist Jacob Baling.