Jangan malu, jalani pemeriksaan

0

Pengesanan awal akan buka peluang pulih daripada kanser payudara

Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Keengganan untuk membuat pemeriksaan kesihatan serta perasaan malu menjalani rawatan menjadi faktor utama peningkatan jumlah kes pesakit kanser payudara di negara ini.

Walhal, pengesanan awal penyakit itu sebenarnya membuka peluang besar untuk menyelamatkan pesakit, selain memberi pengetahuan kepada mereka berkenaan langkah pencegahan dan rawatan awal.

Perkara tersebut ditegaskan isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu sambil berkata, wanita yang merupakan golongan utama pesakit kanser payudara perlu membuang segala perasaan malu dan sikap tidak mengendahkan keadaan kesihatan.

“Saya menyeru setiap wanita yang ada pada majlis ini mahupun wanita di luar sana untuk pergi ke hospital atau mana-mana pusat yang menyediakan perkhidmatan memeriksa kesihatan payudara.

“Jangan malu dan jangan pandang mudah akan perihal ini kerana pengesanan awal bagi penyakit kanser payudara inilah yang akan membantu pesakit untuk bebas daripadanya,” katanya.

Jelas Jamilah, kaedah pengesanan mamografi bagi mengesan kanser payudara kebanyakannya berjaya mengesan purata daripada 90 hingga 95 peratus penyakit itu, selain turut menasihatkan golongan lelaki agar membuat pemeriksaan yang sama.

Beliau berkata demikian pada Majlis Minum Petang Pink Ribbon-Kempen Kesedaran Kanser Payudara sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Antarabangsa di Hotel Grand Margherita di sini, semalam.

Tambahnya, kanser payudara dan serviks merupakan dua kanser yang dapat dirawat atau bebas daripada pesakit sekiranya ia dikesan lebih awal bagi memudahkan rawatan dijalankan.

“Negara kita mempunyai kemudahan serta kelengkapan perubatan yang canggih selari dengan negara maju yang lain dan itu bukanlah isu utama dalam merawat penyakit kanser ini.

“Apa yang menjadi keutamaan ialah kesedaran pesakit itu sendiri untuk menjalankan pemeriksaan serta mendapatkan rawatan pada peringkat awal,” tegasnya.

Selain itu, Jamilah juga menyarankan agar orang ramai sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada penghidap kanser payudara dalam usaha mereka melawan penyakit tersebut daripada terus merebak.

Majlis minum petang itu dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 600 wanita dan lelaki yang mengenakan baju berwarna merah jambu sebagai tanda sokongan terhadap penghidap penyakit itu.

Ia diadakan bertujuan memberi kesedaran dan pengetahuan kepada orang ramai mengenai kepentingan membuat pemeriksaan kesihatan dan pengesanan awal kanser payudara sebelum ia menular.

Majlis tersebut turut menyaksikan Jamilah menyerahkan payudara palsu yang dijahit khas kepada dua pesakit kanser payudara yang sedang giat melawan penyakit tersebut.

Hadir sama ialah Presiden Pink Ribbon Kuching Suriani Rapaiee, Patron Pink Ribbon Kuching Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, Pengarah Biro Wanita Noriah Ahmad serta isteri Menteri Pelancongan Datin Amar Jumaani Tuanku Bujang.