Peka langkah pencegahan denggi

0

Penduduk perlu proaktif, hapuskan tempat pembiakan aedes: Nogeh

Oleh Samuel Aubrey //

BAU: Penduduk Sarawak perlu memandang serius langkah-langkah pencegahan denggi meskipun jumlah kes dilaporkan di negeri ini masih di tahap minimum, kata Ahli Parlimen Mas Gading Anthony Nogeh.

Sambil menekankan pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati, katanya, orang ramai tidak harus menunggu kes denggi wujud di kawasan mereka untuk memulakan aktiviti membersih dan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes.

Beliau menjadikan program anti denggi di Kampung Opar di sini yang dirasmikannya semalam sebagai contoh baik di mana penduduk kampung bekerjasama membersihkan kawasan berpotensi pembiakan nyamuk aedes walaupun tidak ada sebarang kes dicatatkan di kampung itu pada tahun ini.

Nogeh, yang juga ahli Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak, terdahulu menyempurnakan kempen itu di Kampung Biawak, Lundu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Ranum Mina.

“Kempen-kempen sedemikian adalah selari dengan kempen yang digiatkan di seluruh negara memandangkan setakat ini, sebanyak 82,572 kes membabitkan 157 kematian dicatatkan dan antara yang terjejas adalah ahli politik dari Kelantan.

“Jadi, saya harus memuji orang yang mengambil inisiatif untuk mengadakan kempen anti denggi walaupun terdapat sedikit atau tidak ada kes denggi yang dicatatkan di kawasan mereka,” katanya.

Hadir sama Ranum, Setiausaha Majlis Daerah Bau Jitien Ritop, Pemanca Daniel Teho, Penghulu Gani Jonek, Ketua Kampung Opar Johiew Kopa dan wakil-wakil dari Pejabat Kesihatan Daerah Bau.

Kempen itu bermula dengan ceramah mengenai aedes oleh Pejabat Kesihatan Daerah Bau, sebelum Gotong-Royong Perdana dimulakan bagi menghapuskan barangan yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk dan ia berakhir dengan pengasapan pada sebelah petang.

Difahamkan, setakat ini sebanyak enam kes denggi dilaporkan di Daerah Bau pada tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Nogeh turut menyentuh mengenai hubungan kerja yang baik di antara beliau dan Ranum.

Opar dan sebuah lagi kerusi negeri, Tasik Biru adalah sebahagian daripada konstituensi Mas Gading.

“Ia menunjukkan Ranum dan saya boleh bekerjasama (demi kebaikan kawasan Mas Gading). Saya berterima kasih dengan beliau kerana dapat memberi kerjasama kepada saya,” katanya.