Peristiwa hijrah bawa perubahan

0

Ajaran Islam wajar dijadikan panduan hijrah ke arah lebih baik: Tun Taib

Oleh Mastura Ismail //

LIMBANG: Umat Islam di negeri ini perlu merenung peristiwa Maal Hijrah sebagai agen pembawa perubahan lebih positif bagi membina kekuatan ekonomi, sosial, keharmonian politik dan perjuangan pemimpin seperti zaman kegemilangan Tamadun Islam.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, ajaran Islam wajar dijadikan panduan hijrah ke arah lebih baik sehingga mencapai tahap cemerlang.

Jelasnya, umat Islam harus menjadi umat paling cemerlang, maju dan tidak dibelenggu kesempitan dan kekangan wawasan.

“Peristiwa Maal Hijrah adalah permulaan baharu Islam. Ia satu harapan bukan hanya berbentuk fizikal semata-mata seperti penghijrahan dari kota Mekah ke Madinah sebaliknya menuntut perubahan lebih luas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sambutan Maal Hijrah 1436H Peringkat Negeri di Dewan Suarah di sini semalam.

Jelas Tun Taib, perubahan itu memerlukan pandangan jauh yang mampu membentuk pemerintahan adil kepada masyarakat Islam.

Katanya, peristiwa hijrah merupakan detik penting dalam sejarah umat Islam khususnya dalam menegak dan menyebarkan kejayaan Islam.

“Dalam hal ini, Nabi Muhammad dan sahabat tidak lagi mahu bertumpu kepada kekuatan kaum Quraisy di kota Mekah. Hijrah bererti umat Islam apabila ingin maju dan berperanan besar dalam percaturan dunia dan tidak terbatas pada satu bangsa sahaja,” ujarnya.

Katanya lagi, umat Islam harus menyerap semangat hijrah dengan menguasai pelbagai bidang bagi mengangkat martabat bangsa, agama, ummah dan negara ke mercu kejayaan.

“Dengan melakukan hijrah ini, kita mampu mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, melahir masyarakat yang mempunyai tahap pengetahuan tinggi, generasi masa depan yang cekap dan mahir dalam pelbagai bidang,” tambahnya.

Hadir sama Toh Puan Ragad Kurdi Taib, wakil Ketua Menteri yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, isteri Awang Tengah Datuk Morliah Datuk Awang Daud, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk  Daud Abdul Rahman, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan jemputan lain.

Sementara itu, Permai Abang Jaya menerima Anugerah Maal Hijrah bagi kategori Keluarga Contoh, diikuti Ustaz Ali Fathollah Harun (Pendakwah Contoh), Hamdan Sharbini (Pegawai Contoh), Masnah Shafie (Sukarelawan Contoh), Masjid Al Muhajirin, Kampung Paya Mebi Kuching, (Pengurusan dan Pentadbiran Masjid Terbaik), Surau Saidina Umur Bandar baru Samariang, Petra Jaya Kuching, (Pengurusan dan Pentadbiran Surau Terbaik), Fatini Nurizzati Mat Kamal (Pelajar STPM Terbaik) dan Adry Zarith Ahmad (Pelajar SPM Terbaik).

Sekitar 2,000 masyarakat di daerah ini terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghadiri majlis itu.

Terdahulu sambutan Maal Hijrah bermula petang kelmarin yang diadakan di Masjid Baharu Bahagian Limbang dengan bacaan surah Yasin dan tahlil, bacaan doa akhir tahun, ceramah khas Maal Hijrah, zikir marhaban dan doa kesyukuran selain solat Maghrib dan Isyak berjemaah.