Peserta CAS diseru sebar maklumat, peluang SCORE

0

KUCHING: Peserta Persidangan Tahunan Eksekutif Antarabangsa (CAS) diminta menyebarkan kesedaran dan peluang yang disediakan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata, peserta yang terdiri daripada pakar-pakar akauntan dan konsultan harus berkongsi maklumat mengenai SCORE.

“Kita berharap peserta akan membantu dalam mewujudkan kesedaran tentang pelaburan dan peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh SCORE.

“Jaringan ahli CAS antarabangsa amat penting dalam memainkan peranan untuk membawa pembangunan dan kejayaan kepada negara masing-masing.

“Mereka bukan sahaja berurusan dengan fakta dan jumlah, tetapi juga mempunyai kemahiran serta pengetahuan dalam membantu komuniti peniaga,” ujarnya ketika berucap pada majlis makan malam anjurkan CAS di sebuah hotel di sini kelmarin.

Wong yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem turut mengumumkan geran sebanyak RM6,000 kepada CAS untuk menganjurkan aktiviti.

“Adalah penting untuk memperlengkapkan diri anda semua tentang pengetahuan, konsep dan kemahiran pada masa kini kerana ia membantu membolehkan kita menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan,” tambahnya.

Beliau memberitahu Malaysia memerlukan khidmat pakar dalam bersaing di pasaran dunia.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Datuk Paduka Puang Liong Kiak berkata, CAS Antarabangsa akan menyediakan latihan yang diperlukan oleh para akauntan.

“Pada masa hadapan, CAS Antarabangsa akan menubuhkan jawatankuasa biasiswa untuk memberi biasiswa kepada pelajar memerlukan yang mengambil bidang akauntan,” ujarnya.

Persidangan itu disertai negara-negara ASEAN yang berlangsung selama tiga hari di sini.

Hadir sama Pengerusi CAS Antarabangsa Chang Kok Foo, Ketua Pegawai Eksekutif CAS Antarabangsa Chen Voon Hann, Pengerusi Institut Akuantan Malaysaia Sarawak Wan Idris Wan Ibrahim dan tetamu kehormat lain.