RTC Sibuti sudah siap 90 peratus

0

MIRI: Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sibuti sudah 90 peratus siap dan bakal beroperasi sepenuhnya sedikit masa lagi.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, pusat berkenaan turut bakal dirasmikan pada tahun hadapan.

“Sudah siap 90 peratus, bakinya cuma proses elektrikal sebelum beroperasi sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Borneo petang kelmarin apabila diajukan soalan mengenai RTC Sibuti.

Kini, antara agensi dan jabatan  sedia untuk beroperasi di RTC yang membabitkan pelbagai agensi antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agrobank, Malaysia Airlines (MAS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan kaunter pelbagai.

Mengenai perasmian, Ahmad Lai berhasrat menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan masih menanti jawapan dari Putrajaya.

RTC merupakan salah satu teras di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 (NBOS4) yang pada awalnya adalah cadangan Institut Strategi Lautan Biru Malaysia (MBOSI).

Ia bermatlamat menjadi penghubung masyarakat luar bandar melalui aktiviti yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bagi mewujudkan impak ekonomi dan pendapatan berganda.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani merupakan dua kementerian yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan program.

Selain itu, ia juga mendapat kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.