Sambutan Maal Hijrah muat mesej penuh makna

0

PM mengajak umat Islam jadikan hijrah pedoman dalam mengurus kepelbagaian kaum di negara ini

RAKAM KENANGAN: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (duduk tiga dari kiri) dan Raja Perempuan Tuanku Tengku Fauziah Abdul Rashid (duduk tiga dari kanan) berkenan bergambar kenangan bersama ahli jawatankuasa Masjid al-Hidayah selepas perasmian masjid tersebut pada Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis 1436 di masjid tersebut dekat Kangar, semalam. Berangkat sama, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (duduk, dua dari kiri) dan Raja Puan Muda Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (duduk dua dari kanan). Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man (duduk, kiri) dan isteri Datin Seri Nur Aswana Omar (duduk kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sambutan Maal Hijrah 1436H disambut secara sederhana, namun sarat dengan mesej bermakna buat pe-doman umat Islam dengan tumpuan kepada acara sambutan peringkat kebangsaan di Pusat Kon-vensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dalam ucapannya pada majlis itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak antara lain mengajak masyarakat menjadikan hi-jrah yang dilakukan Rasulullah SAW dalam menyatukan dan mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar sebagai pedoman dalam mengurus kepelbagaian kaum yang ada di negara ini.

Majlis bertemakan ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’ itu turut menyaksikan Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman, 76, diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, menteri-menteri kab-inet dan duta-duta luar negara.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata umat Islam perlu memperkukuh perpaduan untuk menangkis segala anasir negatif yang mahu merosakkan agama Islam.

“Jadikanlah kejayaan Rasulullah SAW serta para sahabat yang membina kesatuan ummah sebagai contoh dalam membangunkan kemajuan negara bangsa berteraskan perpaduan kaum dan agama,” katanya ketika berucap pada perhimpunan Maal Hijrah peringkat negeri di Ayer Keroh.

Pada majlis itu, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Melaka kepa-da penceramah bebas Dr Zahazan Mohamed, 40, atas usaha beliau menegakkan syiar Islam.

Di PULAU PINANG, sambutan yang berlangsung di Dewan Seri Pinang menyaksikan Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas mengingatkan umat Islam supaya tidak ter-pengaruh dengan pemikiran yang tersasar daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Bekas mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad, 72, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri tahun ini berdasarkan sumbangan beliau dalam bidang keagamaan.

Di KEDAH, kira-kira 3,000 umat Islam menghadiri sambutan Maal Hijrah 1436 di Dewan Seri Negeri yang turut disertai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Ked-ah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pada majlis itu, Tunku Sallehudin bertitah setiap umat Islam seharusnya bangkit dan sedar untuk menanam benih perpaduan, persaudaraan, tolong- menolong, pengorbanan dan bertakwa kepada Allah.

Ia menyaksikan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Kedah, Syeikh Hassan Ariffin menerima anuge-rah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri manakala Tokoh Saudara Kita milik kakitangan Kolej Voka-sional Langkawi, Mohd Ismail Eh Abdullah.

Di TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah perpaduan menjadi kunci kejayaan ummah kerana tanpanya tidak akan wujud keamanan, ketenangan dan kemakmuran.

Baginda turut berharap usaha terus dibuat dalam misi memartabatkan al-Quran di negeri itu, sekali gus menghasilkan lebih ramai qari dan qariah mahupun Hafiz dan Ha-fizah bertaraf antarabangsa.

Sementara itu, pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Mamat Osman, 60, dipilih se-bagai penerima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali Negeri Terengganu 2014 atas kegigihannya membesarkan empat anak dengan penekanan kepada soal pendidikan.

Di JOHOR, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyarankan semua pihak terus memberi sumbangan dalam bidang masing-masing tanpa mengira pangkat atau taraf kehidupan bagi meningkatkan martabat Islam.

Pada sambutan Maal Hijrah dihadiri 1,500 peserta di Dewan Pusat Islam Iskandar, anugerah Tokoh Maal Hijrah Johor menjadi milik Morsyid Mahrof, 66, iaitu Hakim Mahkamah Rayuan Syariah secara kontrak sejak 2009, yang membuka kelas Qiraat sejak bersara bagi menyampaikan ilmu agama kepada pelajarnya.

Di SABAH, Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berkata setiap rakyat perlu menerima dan menghormati kepelbagaian termasuk di Sabah dengan tidak menyentuh perkara sensitif yang boleh mencetus kemarahan atau insiden tidak diingini.

“Rapatkanlah saf (barisan) dengan mengukuhkan persefahaman, sentiasa sokong- menyokong, bersaing secara sihat, bekerja bersungguh-sungguh, berdisiplin dan bersatu padu demi agama, bangsa dan negara,” katanya dalam ucapannya pada sambutan Maal Hijrah per-ingkat negeri Sabah di Papar.

Di SARAWAK, sambutan di Dewan Suarah Limbang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Kelmarin, Abdul Taib menghadiri majlis bacaan doa akhir dan awal tahun hijrah di Masjid Bahagian Limbang.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berangkat menghadiri sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Amanjaya Convention Centre, Casuarina @ Meru di Ipoh.

Baginda berkenan menyampaikan anugerah Khas Darul Ridzuan kepada Tun Dr Abdullah Ayub yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara antara tahun 1979 dan 1981 sebelum bersara daripada perkhid-matan awam.

Sultan Nazrin juga berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak kepada bekas Ketua Penolong Pengarah (Penyelidikan) Jabatan Agama Islam Perak Yunus Alias, 62.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembi-lan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah di Masjid Negeri di Seremban malam kelmarin.

Pada majlis itu, Tuanku Muhriz berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah 1436H negeri kepada Raja Tan Sri Muhammad Alias Tengku Mohd Ali atas jasa dan bakti dalam bidang keilmuan dan kajian sains.

Di KELANTAN, Muhammad Taufiq Abdullah, 35, yang memeluk Islam 17 tahun lalu dan kini bertugas sebagai guru, dipilih se-bagai Tokoh Hijratul Rasul bagi kategori Saudara Kita sempena sambutan Hijratul Rasul peringkat Kelantan di Tumpat malam kelmarin. — Bernama