2,149 individu ditahan dalam serbuan di premis disyaki jalankan aktiviti judi

0

JOHOR BAHARU: Polis Johor menahan 2,149 individu dalam 3,836 serbuan terhadap premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian di negeri ini, sejak Januari sehingga kini.

Ketua Jabatan Siasatan Johor Datuk Hasnan Hassan berkata pihaknya juga merampas 4,805 buah mesin perjudian dan wang tunai berjumlah RM171,541 menerusi serbuan ber-kenaan.

“Daripada 2,149 individu itu, seramai 109 individu sudah dituduh di mahkamah iaitu 60 individu dituduh mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala 49 individu lagi dituduh mengikut Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan Ne-geri Johor 1998,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Hasnan berkata bagi me-mastikan aktiviti perjudian tidak terus menjadi wabak di negeri ini, 97 premis yang disyaki menjalankan aktiviti terbabit turut dipotong bekalan elektrik bagi tempoh Januari hingga kini.

Beliau berkata tindakan berterusan dengan meng-adakan operasi bersepadu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menunjukkan polis serius menangani aktiviti berkenaan.

Katanya, selain pasukan khas yang ditubuhkan di setiap daerah bagi memastikan pembanterasan berterusan dapat dilakukan, pihaknya juga sentiasa memantau rapat aktiviti perjudian di premis pusat hiburan keluarga.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas penganjur mengikut Undang-Undang Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001,” kata-nya.

Menurutnya, polis me-nyarankan orang ramai supaya tidak mengunjungi pusat hiburan keluarga yang menganjurkan aktiviti perjudian dan orang ramai dialukan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti berkenaan di talian 07-2254677 atau 07-2254648 serta laman Facebook Polis Johor.

Sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan, Polis Diraja Malaysia akan menggempur habis-habisan kegiatan perjudian haram di seluruh negara dalam menghapuskan jenayah itu hingga ke peringkat akar umbi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sen-diri dilaporkan mengeluarkan arahan kepada semua Ketua Polis Negeri untuk melancarkan ‘peperangan’ terhadap pengusaha mesin judi. — Bernama