UNIMAS rancang Pusat Pembelajaran Bersepadu di Lembah Klang

0

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merancang mewujudkan Pusat Pembelajaran Bersepadu untuk Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Program Pascasiswazah di Lembah Klang.

Rancangan ini menurut Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi adalah bagi memudahkan akses dan jangkauan pengajian khususnya untuk pelajar-pelajar dari Semenanjung Malaysia.

Selain itu, UNIMAS menurut Dr Kadim turut merancang membangunkan Bandar Pintar Mukah dan Pusat Pembelajaran Bersepadu Sibu, mengambil kira sambutan yang menggalak daripada pelajar tempatan dan antarabangsa untuk mengikuti program pengajian di UNIMAS.

“Menjangkau usia 22 tahun sejak ditubuhkan pada 24 Disember 1992, UNIMAS terus mengorak maju sebagai sebuah universiti komprehensif.

“Sebagai universiti awam Malaysia kelapan, dengan tertubuhnya lapan fakulti, kini jumlah pelajar telah mencecah seramai 16,452 orang melalui 43 program akademik yang ditawarkan di peringkat prasiswazah, 37 program pascasiswazah dengan lapan program sarjana kerja kursus, 28 program ijazah sarjana kedoktoran secara penyelidikan dan satu program ijazah sarjana kedoktoran secara kerja kursus.

“Melalui penawaran program ini ia menampakkan peningkatan enrolmen pela-jar sejak tahun 2010 dan ini merupakan satu perkembangan yang positif kepada UNIMAS dan jumlah ini sebenarnya te-lah melebihi sasaran awal universiti untuk mencapai jumlah pelajar seramai 15,000 menjelang 2014,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidi-kan Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama warga UNIMAS di Arena Gemi-lang, DeTAR Putra di sini semalam.

Tambah Dr Kadim, 22 April 2014 me-nyaksikan satu lagi pencapaian penting dalam liputan sejarah pencapaian cemerlang UNIMAS apabila berjaya mendapat status sebuah Universiti Autonomi yang kelapan di kalangan 20 IPTA.

Sejajar dengan pengiktirafan yang telah diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia tersebut, UNIMAS akan terus komited menjunjung keberkesanan sistem tadbir urus yang penuh integriti.

“Umum mengetahui antara bidang tugas pensyarah selain daripada mengajar ialah penyelidikan dan konsultansi.

“Melalui kegigihan cekal dan komited warga akademik UNIMAS, beberapa penyelidikan berimpak tinggi telah dihasilkan yang banyak memberi manfaat kepada masyarakat.

“Antaranya penyelidikan virus malaria, penyelidikan denggi dan penyakit tropikal berjangkit, penyelidikan informatik luar bandar, penyelidikan biodiversiti dan sebagainya,” tambahnya.

Dalam pada itu perjumpaan yang berlangsung hampir dua jam itu semalam dihadiri oleh sekitar 5,000 warga UNIMAS terdiri daripada kalangan pelajar, kakita-ngan akademik dan bukan akademik.