23 Nov tarikh sambung bicara kes saman fitnah Abdul Hadi

0

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menetapkan 23 Nov depan untuk menyambung perbicaraan kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu berikutan kegagalan pihak plaintif mengemukakan seorang lagi saksi daripada akhbar Kosmo untuk memberi keterangan.

Abdul Hadi hadir di Mah-kamah Tinggi Kuala Terengganu, yang diiringi kira-kira 1,000 penyokong, untuk memberi keterangan sebagai saksi defenden semalam untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar terhadapnya dalam kes saman itu.

Peguam Hadi Asmuni Awi ketika ditemui di luar mahkamah berkata dalam  perbicaraan semalam plaintif telah memanggil seorang sahaja saksi iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Azan Ismail bagi memberi keterangan.

“Sepatutnya seorang lagi plaintif daripada Kosmo, bagaimanapun tidak dapat  hadir sungguhpun waran tangkap telah dikeluarkan, tapi waran tangkap tidak  dapat dilaksanakan,” katanya. — Bernama