30,000 dijangka meriahkan Karnival Lan Berambeh Anak Sarawak 2014

0

KUALA LUMPUR: Lebih 30,000 pengunjung dijangka memeriahkan Karnival Lan Berambeh Anak Sarawak 2014 yang akan berlangsung di pekarangan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 31 Oktober ini hingga 2 November depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang juga pengerusi program berkenaan berkata, edisi kali ini merupakan yang pertama diadakan dalam bentuk karnival dan dibuka kepada semua rakyat negara ini.

Menurutnya sebelum ini, program tersebut bertujuan mengumpul anak-anak Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia bagi mengeratkan silaturahim di samping memberi pendedahan kepada mereka mengenai peluang kerjaya dan pelbagai peluang lain untuk meningkatkan taraf hidup.

“Tetapi pada tahun ini, ia dibuka kepada semua rakyat Malaysia dan objektifnya telah diperluaskan.

“Antaranya mempromosikan barangan, makanan dan kebudayaan serta memberi peluang kepada anak-anak kelahiran negeri Sarawak menceburi bidang keusahawanan,” jelas Rohani menerusi satu kenyataan di sini, kelmarin.

Rohani berkata pada tahun ini juga pelbagai program telah diatur untuk tarikan ramai antaranya pameran produk dan kraf tangan dari Sarawak, persembahan kebudayaan tempatan selain gerai jualan makanan dari Bumi Kenyalang.

“Di samping itu, terdapat juga acara Konsert Mini KOSMO!, pameran kementerian dan agensi kerajaan serta persembahan fesyen untuk memeriahkan karnival berkenaan.

“Selain program karnival, terdapat satu lagi acara menarik iaitu majlis makan malam yang akan diadakan khas untuk anak Sarawak pada 1 November jam 8 malam yang akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Justeru saya ingi menjemput semua anak Sarawak yang berada di Semenanjung Malaysia datang ke majlis ini,” ujarnya.

Karnival Lan Berambeh Anak Sarawak pertama kali dianjurkan pada 2008 sebagai Rumah Terbuka Aidilfitri dan kemudiannya diperluas peranannya sebagai medan pertemuan tahunan anak-anak Sarawak.

Ia dianjurkan oleh Persatuan Anak Sarawak Semenanjung  dengan kerjasama Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB) Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Rumah Sarawak Kuala Lumpur dan Yayasan Sarawak Kuala Lumpur serta sokongan penuh daripada kerajaan negeri.