Lelaki nyaris maut dalam kemalangan

0

Oleh Mohd Nazib Macpee //

Beginilah keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.

LAHAD DATU: Seorang lelaki nyaris maut selepas kenderaan jenis Toyota Vigo yang dinaikinya terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori treler, di Batu 4, Jalan Lahad Datu-Sandakan, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa dikatakan memandu seorang diri dalam perjalanan dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu.

Difahamkan sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah lori yang datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba hilang kawalan lalu bertembung dengan kenderaan yang dinaiki mangsa.

Akibat daripada kemalangan itu, kereta Vigo mangsa remuk teruk selepas bahagian belakang lori itu menghempap bumbung kenderaannya.

Bagaimanapun, mangsa yang tersepit di tempat duduknya terselamat dan hanya mengalami cedera ringan sebelum berjaya dikeluarkan oleh orang awam yang melalui kawasan itu.

Sementara itu, pemandu lori terbabit juga turut mengalami cedera ringan dalam nahas itu.