Polis mohon bantuan INTERPOL jejaki dua individu dikehendaki

0

JAWAB: Khalid (kiri) ketika sidang media selepas menyampaikan Amanat Ketua Polis Negara sempena Seminar Ketua Polis Daerah 2014 di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur (MPDRMKL) Cheras, di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Komandan MPDRMKL SAC Dr Yew Chong Hooi. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol), di Perancis untuk membantu pihaknya menahan seorang aktivis Ali Abd Jalil dan penulis blog, Alvin Tan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata permohonan itu dibuat setelah kedua-dua mereka cuba memohon perlindungan politik di luar negara.

Ali memohon suaka di Sweden manakala Alvin di Amerika Syarikat.

“Polis telah memohon pranotis kepada Interpol. Jadi kita tunggu jawapan,” katanya kepada pemberita pada Seminar Ketua Polis Daerah, di Maktab PDRM Cheras, di sini semalam.

Alvin, 26, dan teman wanitanya Vivian Lee, 25, pernah didakwa mengikut Akta Hasutan kerana ucapan Ramadan di laman blog mereka, yang mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini pada tahun lepas.

Kes mereka masih dalam perbicaraan.

Ali juga menghadapi tuduhan menghasut kerana menghina institusi Raja di negara ini melalui laman Facebooknya.

Mengenai judi Internet, Khalid berkata pihaknya bersama Jabatan Peguam Negara sedang merangka satu tindakan perundangan yang boleh diambil terhadap pemilik premis dan premis terlibat menjalankan perjudian haram.

“Bagi membanteras kegiatan judi haram itu kita sedang merangka satu undang-undang bagi mengambil tindakan terhadap mereka yang mempromosi ‘online gambling’ ini termasuk tuan punya premis terbabit,” katanya.

Kelmarin, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk meminda akta sedia ada atau mewujudkan akta baharu bagi mengekang kegiatan judi haram.

Media sebelum ini menyatakan pandangan beberapa pihak bahawa undang-undang berkaitan perjudian iaitu Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dianggap sudah ‘lapuk’.

Manakala Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula tidak memberi kuasa untuk menutup, menyita dan melucut hak terhadap pemilik premis yang didapati menjalankan kegiatan judi haram.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata polis masih menunggu permohonan justifikasi daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mendapatkan lesen senjata api bagi anggota penguat kuasa agensi itu.

“Kita akan melihat dulu justifikasi mereka secara terperinci,” katanya.

Permohonan itu berikutan insiden beberapa pegawai penguat kuasa SPAD diserang sekumpulan lelaki ketika pegawai-pegawai itu melakukan sekatan jalan raya di Jalan Lapangan Terbang Padang Mat Sirat, Langkawi pada Jumaat lepas. — Bernama