322 projek RM900.2 juta berjaya disiapkan

0

TURUN PADANG: Entulu (dua kanan) bertukar pendapat dengan Zamhari (empat kiri) dan yang lain ketika melawat tapak projek Dewan Sungai Apong baharu, semalam.

Ia adalah projek di bawah Manifesto BN ‘Aku Janji’ PRU13 yang diumumkan PM dan TPM: Entulu  

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Sebanyak 322 projek di bawah Manifesto Barisan Nasional (BN) ‘Aku Janji’ Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang menelan perbelanjaan RM900.2 juta berjaya disiapkan setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, jumlah projek diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin secara keseluruhannya adalah sebanyak 367, membabitkan kos berjumlah RM3.5 bilion.

“Daripada 367 projek itu, sebanyak 322 atau 87.74 peratus dengan jumlah perbelanjaan RM900.21 juta berjaya diselesaikan dan 34 projek bernilai RM1.6 bilion lagi masih dalam pelaksanaan.

“Manakala 11 projek bernilai RM537.35 juta belum lagi dimulakan.

“Namun tiga projek daripada jumlah ini diumumkan semasa Pilihan Raya Kecil Balingian lepas dan dijangka dimulakan pada 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pelaksanaan Projek Walkabout Perdana Menteri/Timbalan Perdana Menteri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Entulu yang juga Ahli Parlimen Selangau menjelaskan, tiga projek itu adalah menaik taraf Lapangan Terbang Mukah yang bernilai RM133 juta, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Baru di Balingian di Mukah (RM60 juta) dan pembinaan Sekolah Kebangsaan Tellian di Mukah (RM19 juta).

“Pembinaan bagi ketiga-tiga projek yang diumumkan pada Pilihan Raya Kecil Balingian ini bernilai RM212.30 juta dijangka bermula tahun depan,” katanya sambil menambah, lokasi bagi tapak pembinaan SMK Baru bagaimanapun belum dikenal pasti.

Beliau turut mendedahkan bahawa salah satu lagi projek belum dapat dilaksanakan adalah pemberian tanah seluas tiga ekar kepada setiap isi rumah di Penempatan Semula Sungai Asap di Belaga.

Bagi tujuan itu katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dalam masa terdekat untuk membincangkan pelaksanaan projek tersebut.

Entulu kemudian turut meluangkan masa melawat tapak projek Dewan Sungai Apong baharu, projek khas yang diumumkan oleh Muhyiddin pada Walkabout 2013 lalu.

Kerja menaik taraf dewan masyarakat berstrukturkan kayu yang bernilai RM446,500 itu yang kini 91 peratus siap dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang November.

Hadir sama, Residen Bahagian Kuching Zamhari Saidi dan Ahli Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Tan Kai.