Badminton Sarawak diperkasa

0

TINGKAT BADMINTON: Peserta kursus merakamkan kenangan bersama (duduk dari kanan) Muhtasham, Ong, Hambali, Abdul Hadi dan Dana.

Lebih ramai pegawai teknikal bantu anjur kejohanan pelbagai peringkat diperlukan

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Sarawak memerlukan lebih ramai pegawai teknikal untuk membantu penganjuran pelbagai kejohanan badminton peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa di sini seperti Cabaran Badminton Antarabangsa Kuching Maybank yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan dari 11 hingga 16 November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (PSNS) Dr Ong Kong Swee berkata selain itu, Sarawak juga perlu melatih dan melahirkan lebih ramai pegawai dalam bidang tersebut.

“PSNS sedang berkerjasama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persatuan Badminton Sarawak (SBA) dan beberapa institusi seperti Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang (IPGKBL), Institut Pendidikan Guru Kampus Samarahan, UNIMAS, UiTM, Kolej latihan Guru Miri dan Universiti Swinburne Kampus Sarawak untuk menganjurkan kursus sains sukan, pegawai dan jurulatih badminton.

“Kita bercadang untuk menganjurkan kursus kejurulatihan BAM Tahap I, II dan III termasuk sains sukan bersama-sama institusi-institusi tersebut,” jelas Ong semasa menamatkan Kursus Kejurulatihan BAM Tahap II di IPGKBL semalam.

Hadir sama Setiausaha SBA Abdul Hadi Abdul Kadir dan Ketua Jabatan Pendidikan Fizikal IPGKBL Dana Raja.

Kursus yang diadakan dari 24 hingga 29 Oktober itu merupakan inisiatif PSNS bersama BAM dan SBA menyaksikan penyertaan seramai 20 peserta termasuk dari Sabah dan Semenanjung Malaysia.

“IPGKBL adalah venue yang baik kerana ia mempunyai persekitaran yang sangat kondusif.

Tambahan Pengarahnya, Awang Hambali Awang Hamdan juga sangat menyokong usaha ini dengan menyediakan fasiliti bagi menganjurkan kursus ini bersama koordinator dan pengajar BAM, Muhtasham Katan,” ujar Ong.

Menurutnya, Hambali turut mendorong guru pelatih di IPGKBL menyertai kursus kejurulatihan tersebut agar dapat dipromosi dan diajar di sekolah-sekolah sebaik mereka menamatkan kursus kelak.

Mengenai Cabaran Badminton Antarabangsa Kuching Maybank, Ong berkata ia peluang keemasan bagi peminat badminton tempatan menyaksikan pemain bertaraf dunia beraksi di sini.

“Kita perlu menganjurkan lebih banyak pertandingan antarabangsa untuk mewujudkan minat dalam sukan ini,” tambahnya.