Enam pasukan sertai edisi pertama Liga Bola Sepak Sekolah Menengah Sibu

0

SIBU: Sebanyak enam pasukan menyertai edisi pertama pertandingan Liga Bola Sepak Sekolah-Sekolah Menengah Sibu yang berlangsung dari 10 hingga 25 Oktober lepas.

Pertandingan yang julung kalinya diadakan itu dianjurkan bersama oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek dan Pejabat Pendidikan Daerah Sibu.

Penolong Kanan Kokurikulum SMK Bukit Assek Stanley Bayang berkata, pertandingan selama tiga minggu itu berlangsung dengan jayanya.

“Tempoh pertandingan liga ini terpaksa dipendekkan kerana cuti sekolah dan peperiksaan umum yang semakin hampir,” ujarnya selepas majlis penutup liga, baru-baru ini.

Enam pasukan menyertai pertandingan itu ialah SMK Bukit Assek 1, SMK Bukit Assek 2, SMK Rosly Dhoby, SMK Sibu Jaya, SMK Lanang dan SMK Tung Hua.

Pada edisi pertama tahun ini, SMK Rosly Dhoby muncul sebagai juara dan membawa pulang Piala Pusingan dan trofi setelah menewaskan pasukan SMK Sibu Jaya dengan jaringan 2-0.

Tempat ketiga dimenangi oleh SMK Bukit Assek 2, diikuti SMK Lanang.

Semua pertandingan diadakan di padang bola sepak SMK Bukit Assek.

Penjaring terbanyak pula ialah Daymond Ranggie dari pasukan SMK Lanang.

Menurut Stanley, pertandingan itu unik kerana pasukan yang bertanding boleh menggunakan maksimum tiga pemain dari mana-mana sekolah yang tidak mengambil bahagian sebagai pemain import.

“Malah, pasukan sekolah dibenarkan menggunakan jurulatih luar,” katanya sambil memberitahu pada liga tahun depan, insentif akan diberikan kepada jurulatih pasukan yang menang.

Beliau menambah, tempoh pertandingan tahun hadapan akan dipanjangkan dan ia hanya akan diadakan pada hari bukan persekolahan terutama pada hujung minggu.

“Surat jemputan akan dikeluarkan pada bulan Januari.

Kita berharap lebih banyak sekolah akan menyertai pertandingan ini nanti,” ujar Stanley sambil berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberi bantuan dalam menjayakan pertandingan itu.