Kerajaan tubuh pusat khas

0

KOTA KINABALU: Penubuhan Desa Bina Diri dapat membantu kerajaan dalam menangani masalah pengemis dan kutu rayau di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah Unit Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Warga Emas Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah Zulkiflie Hassan berkata, institusi berkenaan diwujudkan bagi memberi jagaan, perlindungan serta pemulihan kepada golongan terbabit.

Selain itu katanya, ia juga bagi melahirkan individu yang produktif dan berkemahiran supaya lebih positif untuk diintegrasikan semula ke dalam masyarakat.

Beliau berkata, Desa Bina Diri Kota Kinabalu di Menggatal mula beroperasi sejak 1 April 2013 selepas kerajaan menguatkuasakan Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183).

“Sejak Desa Bina Diri ditubuhkan, JPKA dengan kerjasama agensi lain banyak mengadakan operasi bersepadu untuk menyelamatkan pengemis dan kutu rayau.

“Di institusi ini mereka akan diajar untuk berdikari dan mempelajari kemahiran seperti menjahit, bertukang dan berkebun sebagai persediaan bila keluar kelak,” katanya.

Zulkiflie berkata demikian kepada media selepas perasmian Simposium Kebajikan 2014 Sempena Sambutan 60 Tahun Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) yang dilancarkan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Anita Baranting di sini kelmarin.

Menurutnya, setakat ini terdapat lima penghuni di Desa Bina Diri Kota Kinabalu yang ditahan atas perintah mahkamah selama tiga tahun.

Beliau berkata, pusat itu hanya menerima tahanan yang berumur dari 18 hingga 59 tahun dan warganegara Malaysia.

Bagi kanak-kanak berstatus tidak bernegara yang sering terlibat dengan kegiatan mengemis, pihaknya tidak boleh meletakkan mereka di pusat itu.

Ini kerana jelasnya, golongan terbabit belum mencapai umur yang disyaratkan dan mereka akan dihantar ke rumah merah untuk perlindungan.

“Ada juga tahanan yang dikembalikan ke pangkuan keluarga yang masih sanggup menerima mereka asalkan tidak kembali menjadi pengemis atau kutu rayau.

“Gelandangan juga antara faktor yang menyebabkan pihak berkenaan ditahan kerana mereka tidak memiliki rumah dan terpaksa mengemis,” katanya.

Sementara itu, Anita dalam ucapannya berkata, selain masalah kutu rayau dan pengemis, isu berkaitan pembangunan sukarelawan di Sabah, autisme, kerja sosial dalam perubatan, serta gerontologi turut dikupas menerusi simposium itu.

Sehubungan itu, beliau mahu setiap peserta memanfaatkan dan memahami segala isi kandungan yang dibentangkan bagi membantu golongan yang memerlukan.