PPNS bantu kerajaan dalam penanaman getah

0

RASMI: Sylvester Entrie melakukan simbolik perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-29 PPNS di Kuching, semalam.

Ia akan membangunkan 2,957 hektar ladang getah di seluruh negeri, kebanyakannya di daerah Betong

Oleh Nick Fletcher //

KUCHING: Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) akan membangunkan 2,957 hektar ladang getah di seluruh negeri.

Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang) merangkap Pengerusi PPNS Datuk Sylvester Entri Muran berkata kawasan bagi pelaksanaan projek tersebut sudah dikenal pasti dengan kebanyakannya di daerah Betong.

“PPNS telah bekerja keras membantu kerajaan negeri melaksanakan projek penanaman getah.

“Menyedari usaha baik PPNS itu, maka kerajaan negeri telah memberi kepercayaan kepada PPNS untuk membangunkan penanaman getah di 40 peratus atau 2,957 hektar daripada kawasan getah yang diluluskan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas mewakili Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-29 PPNS di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Entri berkata jumlah perniagaan PPNS telah meningkat kepada RM23.6 juta pada tahun lepas dengan peningkatan sebanyak 16.3 peratus daripada tahun sebelumnya.

“Dengan itu, keuntungan bersih PPNS juga meningkat kepada RM606,000 pada 2013 atau 9.60 peratus daripada tahun sebelumnya,” katanya sambil menambah kira-kira 78 peratus daripada perniagaan tersebut diperolehi melalui tender-tender dan sebut harga yang dikeluarkan oleh PPNS.

Selain itu Entri menambah, PPNS juga telah memperoleh Dana Peladang Kebangsaan sebanyak RM100 juta.

“Geran sepadan ini akan bertindak sebagai ‘bank petani’ di mana ia boleh digunakan oleh ahli-ahli PPNS untuk membangunkan pertanian di Sarawak,” katanya.