Sistem tadah air hujan bantu jimat kos rawat air: Halimah

0

KUALA LUMPUR: Amalan mendapatkan bekalan air menerusi Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) sebagai sumber air alternatif boleh membantu kerajaan menjimatkan kos merawat air.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata kajian Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) menunjukkan 34 peratus air dirawat daripada jumlah penggunaan air bulanan isi rumah mampu dijimatkan jika rakyat mengamalkan SPAH.

“Air hujan yang dikumpul boleh digunakan semula bukan untuk minum tetapi untuk kegunaan domestik seperti mencuci lantai, siram pokok, mencuci tandas dan kenderaan,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Irmohizam bertanya peratusan air terawat yang mampu dijimatkan jika SPAH diaplikasi dengan baik dan negara mana yang telah mengaplikasikan sistem itu.

Halimah berkata amalan SPAH dapat membantu menangani krisis air, sekali gus mewujudkan kaedah penjimatan air lebih baik dan membantu rakyat supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber air terawat.

“Sebagai contoh, setiap penghuni rumah akan menggunakan purata 227 liter air sehari dan daripada jumlah ini, 25 peratus digunakan untuk siram tanaman, curahan tandas dan sebagainya.

“Oleh itu, amalan SPAH dapat mengurangkan permintaan air terawat kepada 75 peratus,” katanya.

Halimah berkata SPAH sudah diamalkan di banyak negara termasuk di Amerika Syarikat, Jepun, Korea, Australia, India dan Jerman berikutan kesedaran penjimatan penggunaan air terawat. — Bernama