Sultan Selangor pengerusikan Mesyuarat Ke-236 Majlis Raja-Raja

0

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam mempengerusikan Mesyuarat Ke-236 Majlis Raja-Raja di Istana Negara di sini.

Mesyuarat sehari itu dihadiri semua Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri kecuali Kedah, Johor dan Pahang yang menghantar wakil masing-masing manakala Kelantan tidak menghantar wakil.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar diwakili Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim manakala Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah diwakili Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Raja-Raja Melayu berkenaan diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Melaka masing-masing diiringi Ketua Menteri.

Turut menghadiri mesyuarat itu ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkifeli Mad Zin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datuk Dr Rahamat Bivi Yusoff.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dalam  kenyataan, memaklumkan bahawa anggota mesyuarat itu telah diberikan taklimatterkini oleh Zulkifeli dan Khalid mengenai pertahanan serta keselamatan negara manakala Dr Rahamat membentangkan perkara mengenai ekonomi.

Beliau berkata mesyuarat hampir dua jam itu turut membincangkan perkara berkaitan hal ehwal Islam, pelantikan termasuk pelantikan anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Ketua Audit Negara dan hakim Mahkamah Atasan.

Selain itu, Syed Danial berkata perkara yang turut dibincangkan ialah mengenai Biasiswa Yang di-Pertuan Agong sesi pengajian 2014/2015. — Bernama