Tiada isu penolakan Bumiputera Sarawak anggotai ATM: Abdul Rahim

1

KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya berlaku pilih kasih atau menolak calon Bumiputera Sarawak yang bertatu dalam pengambilan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah tidak benar, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata pengambilan dibuat secara telus dan berasaskan syarat serta kriteria tertentu yang ditetapkan dalam garis panduan pemilihan anggota ATM.

Katanya pada masa ini, Bumiputera Sarawak menyumbang kepada 9.6 peratus kekuatan Tentera Darat, dengan penyertaan 8.7 peratus Perajurit Muda daripada masyarakat itu dalam setiap siri pengambilan.

“Ramai calon Perajurit Muda yang dipilih menyertai Tentera Darat mempunyai pelbagai tatu yang berunsur tradisi atau etnik.

“Bagaimanapun, pihak ATM amat memandang serius dan berpendirian adalah tidak wajar sekiranya calon-calon bagi pengambilan anggota ATM mempunyai tatu yang menjurus atau membawa perlambangan kepada gejala atau aktiviti tidak sihat,” katanya pada sesi soal jawab di Parlimen di sini.

Beliau menjawab soalan Tan Sri William Mawan Ikom (BN-Saratok) yang ingin penjelasan berhubung dakwaan penolakan belia Dayak untuk menyertai ATM kerana mempunyai tatu di badan.

Abdul Rahim berkata terdapat 7,277 pegawai dalam kor dan rejimen Tentera Darat pada masa ini, meliputi 6,834 berbangsa Melayu, India (158), Cina (110),  Bumiputera Sarawak (100), Bumiputera Sabah (45) dan 30 anggota lain-lain bangsa.

Anggota lain-lain pangkat pula sebanyak 81,473 orang iaitu 64,836 berbangsa Melayu, Bumiputera Sarawak (8,387), Bumiputera Sabah (5,035), 2,313 (lain-lain), India (740) dan Cina (163).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai komposisi anggota Tentera Darat mengikut pecahan kaum. — Bernama