37,488 calon SPM di Sarawak

0

KUCHING: Seramai 37,488 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 akan menduduki peperiksaan itu bermula 3 Nov hingga 4 Dis ini di Sarawak.

Pengarah Pendidikan Sarawak Serina Sauni berkata daripada jumlah itu, seramai 34,833 calon atau 92.92 peratus merupakan calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), 815 (2.17 peratus) calon Sekolah Menengah Swasta sementara
bakinya 1,840 (4.91 peratus) merupakan calon persendirian.

Calon-calon berkenaan akan menduduki SPM di 270 pusat peperiksaan iaitu di 245 pusat SMK, 12 pusat sekolah menengah swasta dan 13 pusat persendirian di seluruh negeri, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semua calon juga diingatkan supaya membawa Kad Pengenalan atau Kad Perakuan serta Slip Kemasukan Calon semasa menduduki peperiksaan berkenaan.

Serina berkata sejumlah 168 Penyelia Kawasan dan 2,190 Pengawas dilantik untuk mengendalikan peperiksaan SPM di Sarawak tahun ini.

Calon boleh menghubungi Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Sarawak di talian 082-473532 atau 082-473507 untuk sebarang pertanyaan.

Maklumat juga boleh diperoleh dari unit-unit penilaian dan peperiksaan di Pejabat Pendidikan Daerah Bahagian Kuching (082-240568/082-242254), Samarahan (082-628177), Sri Aman (083-322581), Betong (083-472595), Sarikei (084-651761), Sibu (084-332443), Mukah (084-871259), Kapit (084-796362), Bintulu (086-330541), Miri (085-416485) dan Limbang (085-211150). -Bernama