Enam cawangan UPP anjur ‘UPP Members Nite’, 6 Nov

0

KUCHING: Buat pertama kalinya Parti Rakyat Bersatu (UPP) melalui enam cawangannya di bahagian selatan akan mengadakan majlis makan malam ahli iaitu ‘UPP Members Nite’ pada 6 November ini.

Pengerusi pengelola Tan Kay Hock berkata, majlis yang diadakan di Hotel Imperial bermula jam 6.30 petang itu dianjurkan enam cawangan bahagian selatan iaitu Batu Kawa, Batu Lintang, Bengoh, Kota Sentosa, Padungan dan Pending.

“Disebabkan kekangan venue, majlis kami hanya mampu memperuntukkan 125 meja sahaja iaitu setiap cawangan diperuntukkan hanya 20 meja dan lima meja untuk tetamu kehormat.

“Tujuan program adalah khas untuk majlis pelantikan ahli baharu dan pertemuan di kalangan ahli-ahli di enam cawangan berkaitan,” katanya pada sidang media yang dihadiri Penyelaras UPP Zon Selatan Temenggung Lu Kim Yong serta wakil enam cawangan UPP Bahagian Selatan di ibu pejabat UPP di sini, semalam.

Tambah beliau, program pada malam itu turut menyaksikan ucaptama daripada Pengerusi Jawatankuasa Perintis UPP Dato Sri Wong Soon Koh serta ucapan daripada wakil cawangan masing-masing.

Menurut Tan, ia merupakan aktiviti pertama UPP Bahagian Selatan selepas mendapat kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada September lepas.

Katanya, bahagian selatan sehingga kini menerima permohonan ahli yang amat memberangsangkan dan sebagai tanda penghargaan mereka mengadakan majlis pelantikan berkenaan.

“Majlis juga diadakan sebagai platform kepada ahli baharu khasnya mereka yang baharu menyertai parti politik untuk berkumpul bersama para pemimpin parti.

“Melalui program ini mereka dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang parti selain memahami objektif dan masa depan parti,” tegasnya.

Tan berkata, tiket bagi majlis makan malam itu kini sudah diedarkan di setiap cawangan dan bagi mereka yang berminat diingatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal memandangkan ia terhad.

“Mereka yang berminat boleh mendapatkan tiket di cawangan masing-masing dan tiket boleh didapati mulai hari ini (semalam) secara percuma,” katanya.

Sementara itu ahli jawatankuasa perintis, juga wakil UPP Cawangan Kota Sentosa Simon Lau berkata, parti yang kini dalam proses merekrut ahlinya bagaimanapun memberi tumpuan utama kepada mereka yang berminat dan baharu menyertai parti politik.

“Kami amat berminat untuk merekrut mereka yang betul-betul mahu berkhidmat kepada rakyat terutama generasi muda dan profesional yang sebelum ini tidak pernah menyertai mana-mana parti politik,” ujarnya.