GST bantu membiayai pembangunan negara

0

Ini termasuk infrastruktur, pendidikan, penjagaan kesihatan, kebajikan, keselamatan dan lain-lain

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

BINTULU: Pembayaran cukai amat perlu supaya kerajaan dapat membiayai pembangunan sosioekonomi termasuk menyedia infrastruktur, pendidikan, penjagaan kesihatan, kebajikan, keselamatan dan lain-lain di negara ini.

Pengarah Maktab Koperasi Malaysia Cawangan Sarawak Ngadi Robin berkata, sudah menjadi trend di seluruh negara di dunia memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) secara berperingkat-peringkat.

Katanya pada hari ini hampir 90 peratus penduduk dunia berdepan dengan sistem GST termasuk China, Indonesia, Thailand, Singapura dan India.

Beliau berkata GST adalah caj ke atas pembekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat dalam urusan  perniagaan di Malaysia oleh orang yang dikenakan cukai.

“GST juga dikenakan ke atas pengimportan barang dan perkhidmatan,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Bicara Profesional: Kenapa Perlunya GST dan Pelaksanaannya anjuran Maktab Koperasi Malaysia Cawangan Sarawak di Hotel Promenade Bintulu semalam.

Katanya GST akan dilevi dan dikenakan ke atas nilai pembekalan dan jika perniagaannya itu berdaftar.

Beliau berkata sesuatu perniagaan tidak dipertanggungjawab untuk didaftarkan jika nilai pusingan tahunan bekalan bercukai tidak mencapai nilai ditetapkan.

“Justeru perniagaan itu tidak boleh dikenakan dan memungut GST atas pembekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat ke atas pelanggan masing-masing,” katanya.

Begitupun katanya, perniagaan boleh memohon untuk mendaftar secara sukarela walaupun hampir semua negara mengenakan cukai pendapatan iaitu peratusan daripada pendapatan individu atau keuntungan perniagaan.

“Kerajaan juga boleh mendapat hasil dengan mengenakan cukai ke atas pengilangan atau jualan barang seperti cukai jualan dan duti eksais.

“GST merupakan satu kaedah memungut cukai lebih baik daripada yang lain,” jelasnya.

Ujarnya asas utama GST adalah ciri kawalan kendiri yang membolehkan perniagaan menuntut kredit cukai input secara automatik dalam sistem perakaunan masing-masing.

“Ini memudahkan prosedur pertadbiran bagi kerajaan dan peniaga sekali gus sistem penyampaian kerajaan dapat dipertingkat,” katanya.

Berhubung program berkaitan GST katanya, ia merupakan isu hangat dibincangkan dan perlu disampai kepada semua masyarakat termasuk anggota koperasi memandangkan GST akan dilaksana mulai 1 April 2015 pada kadar enam peratus lebih rendah daripada kadar cukai sedia ada.

Seramai 280 peserta mengikuti program tersebut yang melibatkan agensi awam, swasta dan koperasi di Bintulu.

Dua sesi ceramah disampaikan dalam program itu iaitu mengupas tajuk `Kenapa Perlu GST dan Pelaksanaannya’ disampaikan oleh Penguasa Jabatan Kastam Negeri Sarawak Azizah Saad dan ‘Persediaan Perniagaan Untuk Tempoh Peralihan dan Perakaunan  Untuk Percukaian’ oleh Penguasa Jabatan Kastam Negeri Sarawak Noraniza Abdul Wahab.