Hukuman sebat dicadang bagi serangan berbaur perkauman dan keagamaan

0

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbangkan hukuman sebatan bagi mana-mana pihak yang didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan memperlekeh agama di laman sosial.

Ahmad Lai Bujang (BNSibuti) berkata hukuman yang lebih berat perlu diambil ke atas pesalah berbanding hanya hukuman denda dan penjara dikuatkuasakan pada masa ini.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata setakat ini pihaknya hanya bertanggungjawab melaksanakan langkah intervensi berbentuk pendidikan dan kesedaran kepada rakyat.

“Kita beri kemudahan kepada rakyat tetapi perlu ada sikap bertanggungjawab atas apa yang dikatakan.

Kalau salah guna, saya setuju tindakan tegas diambil,” katanya dalam respons kepada cadangan Ahmad Lai pada sesi soal jawab di Parlimen semalam.

Cadangan itu turut disokong Loke Siew Fook (DAP-Seremban) dan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu).

Dalam pada itu, Kurup berkata kerajaan sentiasa memantau sebarang isu negatif yang dibangkitkan dalam media-media sosial melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan kerjasama pelbagai agensi lain bagi memastikan isu itu tidak berterusan.

Menjawab soalan asal Ahmad Lai tentang langkah intervensi kerajaan untuk mengurangkan serangan perkauman dan keagamaan di media sosial, Kurup berkata ia termasuk mewujudkan Skuad Uniti untuk membentuk kesedaran dan mendidik masyarakat melalui program silang budaya.

Usaha itu termasuk memperkasa 1,781 kelas Tadika Perpaduan untuk memupuk nilai dalam kalangan kanakkanak, dan menyebarluaskan pendidikan pelbagai budaya kepada pelajar dan mahasiswa, katanya.  — Bernama