Jangan bersubahat sindiket tawar bantuan keluar simpanan KWSP

0

KUCHING:  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan ahli agar tidak bersubahat dengan sindiket atau ejen yang menawarkan bantuan mengeluarkan simpanan KWSP dengan dikenakan caj.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, Ketua Hal Ehwal Korporat KWSP Nik Affendi Jaafar berkata: “KWSP memandang penipuan pengeluaran sebagai satu kesalahan yang serius dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap ahli yang mengeluarkan simpanan persaraan dengan cara menipu.”

Ahli yang menghadapi masalah kewangan diingatkan agar berhati-hati dengan iklan di beberapa laman web atau ejen yang mengedarkan kad perniagaan dan risalah dengan menawarkan perkhidmatan untuk membantu mengeluarkan simpanan KWSP mereka.

“KWSP tidak pernah melantik atau meluluskan perkhidmatan pihak ketiga untuk mempercepatkan permohonan pengeluaran,” kata Nik Affendi.

Tambah beliau, ahli yang ingin membuat pengeluaran daripada akaun KWSP mereka boleh terus berhubung dengan KWSP yang menawarkan perkhidmatan pengeluaran secara percuma.

Penipuan pengeluaran termasuk penghantaran dokumen palsu oleh ahli untuk mempercepatkan kelulusan pengeluaran daripada simpanan KWSP mereka merupakan satu kesalahan di bawah Akta KWSP 1991.

Menurut akta itu, ahli yang didapati bersalah menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Dari Julai hingga September 2014 (S3 2014), lapan ahli KWSP telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991 kerana menipu pengeluaran perumahan KWSP dan didenda sebanyak RM15,850.

Ahli tersebut turut menghadapi hukuman penjara sehingga 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tempoh yang sama turut menyaksikan sebanyak enam saman mahkamah telah difailkan terhadap ahli yang menipu pengeluaran.

“KWSP mempunyai sistem komprehensif untuk mengesan sebarang penipuan atau cubaan untuk menipu pengeluaran walaupun selepas simpanan tersebut berjaya dikeluarkan,” tambah Nik Affendi.

Sekiranya disabitkan kesalahan, ahli yang memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan.

Ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkannya selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama.

KWSP mengukuhkan komitmennya membanteras penipuan pengeluaran kerana aktiviti itu akan menjejaskan simpanan persaraan ahli dan bertentangan dengan objektif utama KWSP.

Ahli yang berdepan dengan sebarang kegiatan penipuan atau cubaan untuk menipu berkaitan pengeluaran KWSP digesa melaporkannya dengan menghubungi talian Hotline Anti-Fraud KWSP 03-26162121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.