Kerjasama strategik JPSM-SPRM perangi rasuah sektor pembalakan

0

KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diharap dapat meningkatkan keazaman warga jabatan itu untuk memerangi rasuah khususnya dalam sektor pembalakan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata menerusi kerjasama itu, jabatan berkenaan perlu memperkukuh pematuhan, pemantauan dan mengambil tindakan terhadap kes-kes penyalahgunaan kuasa yang dilaporkan.

“Pemeriksaan secara berkala ke atas proses penguatkuasaan serta penyiasatan kes penyelewengan dan salah laku perlu ditangani secara serius kerana peranan JPSM harus dilihat dan diberi perhatian sebagai penjaga hutan Malaysia,” katanya semasa berucap merasmikan majlis menandatangai Ikrar Integriti dan pelancaran Kempen Tanpa Hadiah JPSM di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Zoal Azha Yusof.

Palanivel berkata kerajaan juga telah meluluskan penubuhan Unit Integriti Perhutanan (UIP) di Ibu Pejabat JPSM pada awal Ogos lalu dan semenjak ditubuhkan 15 aduan telah diterima.

Palanivel berkata, melalui pendekatan di antara agensiagensi penguatkuasaan yang berkaitan, ia membantu kerajaan dan JPSM khasnya untuk mengawal dan membendung isu pembalakan haram.

“Statistik kes pembalakan haram menunjukkan trend menurun sejak 2011 dengan 24 kes kepada lapan kes pada 2012 dan seterusnya menurun kepada dua kes pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPSM, Datuk Seri Abd Rahman Abd Rahim berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawainya yang terlibat dengan kegiatan rasuah.

“Kami akan bekerjasama dengan SPRM dalam isu ini dan mana-mana pegawai yang didapati terlibat, saya bersedia mereka disiasat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata JPSM komited dengan sasaran untuk mengekalkan kawasan hutan simpan kekal di semenanjung Malaysia seluas lima juta hektar menjelang 2020.

Katanya pada ketika ini terdapat seluas 4.8 juta hektar kawasan hutan simpan kekal dan pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi mencapai sasaran berkenaan.

“Kita mempromosikan pengeluaran kayu daripada sumber yang sah ke arah mencapai Pengurusan Hutan Secara Berkekalan, melaksanakan dan menggalakkan usaha penanaman semula serta mewartakan lebih banyak kawasan hijau,” katanya.  — Bernama