Mahu kerusi sesuai jika ada persempadanan

0

Bagaimanapun UPP akan menyerahkan keputusan itu kepada pemimpin Barisan Nasional, kata Wong

Oleh Florence Nervyn //

SIBU: Parti Rakyat Bersatu (UPP) akan memohon peruntukan kerusi yang sesuai jika persempadanan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Parti Rakyat Bersatu (UPP) Dato Sri Wong Soon Koh berkata parti akan menyerahkan keputusan itu kepada pemimpin Barisan Nasional.

“Kita belum tahu lagi. Ini bergantung kepada di mana kerusi baharu itu kerana kebanyakannya di kawasan Bumiputera. Tunggu dan lihat.

“Saya tidak ingin membuat ramalan dan memberitahu jumlah kerusi yang dimohon,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Tingkat 15, Wisma Sanyan, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu diminta mengulas laporan berita mengenai penambahan 11 kerusi baharu kepada 71 kerusi sedia ada mengikut kenyataan Rang Undang-Undang DUN.

Mengikut kenyataan itu, perlu dan wajar untuk menambah kerusi DUN dengan mengambil kira penambahan jumlah pengundi selain daripada kepesatan pembangunan di negeri ini sejak 2005.

Ia juga perlu untuk orang ramai diwakili dengan lebih efektif di DUN sekali gus menjadikan DUN kepada 82 kerusi.

Terdahulu, Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM86,000 kepada lapan organisasi.