Perkasa program keusahawanan di sekolah

0

DEDIKASI: Barisan Majlis Perwakilan Pelajar PMBS bekerja keras membantu melancarkan Hari Keusahawanan Siswa 2014.

GERAI JUALAN: Sebahagian daripada gerai yang menjual makanan dan minuman serta tudung.

Oleh Saleman Senin //

POLITEKNIK Metro Betong Sarawak (PMBS) menyahut seruan kerajaan dalam memperkasa Program Pembudayaan Keusahawanan dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Pegawai Perhubungan Awam PMBS, Imelda Richard memberitahu, Model Ekonomi Baru (MEB) bertujuan menyusun semula masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera manakala kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merangka pelbagai program peringkat sekolah serta IPT.

“PMBS mengambil inisiatif memperkasa bidang keusahawanan melalui Program Hari Keusahawanan Siswa 2014 membabit penyertaan pelajar secara aktif termasuk penyertaan masyarakat setempat.

“Melalui program ini, pelajar didedah dengan aktiviti keusahawanan lebih mendalam, bermula proses mendaftar perniagaan sehingga tatacara mendapat pinjaman bagi memula perniagaan  agensi kewangan,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika diminta mengulas sepanjang berlangsungnya Program Hari Keusahawanan Siswa 2014 PMBS di pekarangan PMBS, baru-baru ini.

Imelda menyatakan, antara objektif penganjuran program ialah bagi memberi motivasi pelajar PMBS supaya menjadi keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

“Bukan sesuatu yang mustahil kerana berdasarkan pemerhatian, kita mempunyai pelajar yang mempunyai minat mendalam dalam keusahawanan.

“PMBS ingin melahirkan usahawan berjaya pada suatu hari kelak,” ujarnya.

Beliau mengharapkan agar pada masa akan datang, program seumpama ini dapat diteruskan.

Jelasnya, pihaknya memuji usaha Unit Keusahawanan PMBS kerana telah berjaya mengumpul serta melibatkan ramai pelajar pada program tersebut.

“PMBS berharap semua pelajar dapat memanfaat ilmu dan kemahiran mereka perolehi daripada program ini. Jika ia dipraktik, saya percaya ia mampu mendatangkan hasil yang lumayan,” jelasnya.

Program tersebut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik terutamanya jualan, ceramah keusahawan dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.