Tikam kerana cemburu

0

KOTA KINABALU: Angkara cemburu, seorang lelaki warga asing tergamak menikam kekasihnya sehingga mati dalam kejadian di kawasan kebun sayur kubis Kampung Masilou, Ranau kelmarin.

Mangsa yang juga wanita warga asing dan dikenali sebagai Hamida Laka, 29, disahkan meninggal dunia di Hospital Daerah Ranau akibat kecederaan parah di anggota badan termasuklah bahagian dadanya selepas terkena tikaman oleh suspek dengan bersenjatakan objek tajam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, difahamkan mangsa telah didatangi oleh suspek di tempat kerjanya (kawasan kebun sayur) sebelum insiden tikaman terbabit terjadi.

Mangsa yang dalam keadaan cedera parah sempat memaklumkan kejadian itu kepada abang dan seorang rakan sekerjanya dengan menyatakan dia telah ditikam oleh kekasihnya sendiri.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, mangsa yang digegaskan ke hospital kemudiannya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah itu kira-kira jam 5.10 petang.

“Bertindak atas maklumat, kita berjaya menahan suspek yang berusia 25 tahun di perkarangan rumah pekerja Kg Mesilau sekitar jam 6.30 petang pada hari yang sama kejadian itu berlaku.

“Siasatan lanjut masih giat dijalankan dan berdasarkan maklumat awal suspek adalah kekasih kepada mangsa,” katanya.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.