Ugut bunuh KM budaya tidak bertamadun

0

SIBU: Kenyataan kumpulan tertentu dalam laman sosial Facebook yang mengugut mahu membunuh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem boleh disifat sebagai budaya tidak bertamadun dan samseng.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Cawangan Sarawak Musa Ainnie berkata, kenyataan itu selain berbaur perkauman, ia sengaja menggugat keharmonian kaum yang sedia terjalin di negeri ini.

“Menyebar kenyataan sebegini bukan budaya rakyat Sarawak. Saya percaya kumpulan terbabit sengaja membuat kenyataan kerana didalangi golongan tertentu,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sentral di sini semalam.

Dalam laporannya, Musa memohon supaya polis melakukan siasatan berhubung kenyataan itu dan mencari pihak terbabit mengikut Akta Hasutan 1948.

Menurut Musa, pada jam 8 malam kelmarin, semasa melayari Facebook, beliau terbaca satu teks (ulasan) daripada pemilik akaun Facebook menggelarkan diri sebagai Beng Kor dengan kata-kata berbaur hasutan dengan menuduh ‘Ketua Menteri Sarawak adalah bongok, cakap tidak pakai otak. Sarawak tidak akan maju dengan Ketua Menteri seperti ini’.

Katanya, begitu juga dengan kenyataan Chopz Suey yang dengan niat untuk membunuh Ketua Menteri yang mungkin arahan pihak tertentu yang diketuai Beng Kor dan kenyataan Miz Sharvina pula mungkin menyokong niat Chopz Suey mahu membunuh Ketua Menteri Sarawak.

Susulan itu, PEKIDA Cawangan Sarawak mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan berkenaan dan mendesak Beng Kor dan Chopz Suey supaya jangan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Secara peribadi, saya percaya kumpulan terbabit sengaja menyebarkan kenyataan berbaur hasutan dan ugutan itu kerana didalangi golongan tertentu,” katanya.