IPD Padawan perhebat operasi lumpuh judi siber

0

RAMPAS: Pauzi (kiri) menunjukkan sebahagian komputer yang dirampas dari 124 premis yang menjalankan aktiviti perjudian atas talian.

KUCHING: Operasi melumpuhkan kegiatan judi atas talian terus diperhebat dengan lebih banyak lagi premis perjudian tersebut khususnya di sekitar kawasan seliaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan diserbu.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Pauzi Bujang berkata dalam tempoh terdekat ini sahaja, sebanyak 41 serbuan dilakukan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 124 buah premis diserbu sejak Januari tahun ini.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga, sebanyak 1,240 komputer dirampas serta seramai 83 individu ditahan dengan beberapa kes berjaya dituduh di mahkamah.

“Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 124 serbuan dilakukan ke atas premis yang menjalankan aktiviti perjudian atas talian dan juga telah merampas 1,240 unit komputer serta menahan 83 individu.

“Kita komited membanteras kegiatan ini sehingga ke akar umbi, disebabkan itu kita memohon orang ramai memaklumkan kepada kita sekiranya masih ada premispremis ini beroperasi agar kita dapat mengambil tindakan dengan segera.

“Tiada kompromi, asal buka (premis perjudian), kita akan serbu,” tegas Pauzi yang ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di IPD Padawan, semalam.

Beliau menambah, serbuan yang dilakukan ke atas premis-premis perjudian itu juga disertai pelbagai jabatan termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Cawangan Tatatertib.

Pauzi pada majlis tersebut menyampaikan APC serta menyempunakan upacara pemakaian pangkat baharu kepada 21 anggota dan pegawai IPD Padawan.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Yap Fui Lee.