Lebih RM40,000 dikumpul untuk bantu pesakit usus

0

MELAKA: Lebih RM40,000 berjaya dikumpul melaluim sumbangan pelbagai pihak bagi membiayai perbelanjaan rawatan Muhammad Akmarulm Haikal Affizan, 8, yang menderita penyakit usus ‘sindrom crohn’.

Ibu kepada kanak-kanak itu Naima Yuzi Mohd Yati, 31, berkata jumlah itu melebihi daripada RM30,000 yang diperlukan bagi menampung perbelanjaan selama 14 hari membawa anaknya mendapatkan rawatan di sebuah hospital pakar kanak-kanak di Munich, Jerman.

Beliau yang berasal dari Bukit Katil di sini berkata kos per-ubatan ditanggung sepenuhnya hospital berkenaan hasil kerjasama dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dia sekeluarga termasuk suaminya Affizan Sarif, 31, akan berangkat ke Jerman pada jam 11.35 malam, Ahad ini.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang memberi bantuan kepada anak saya, saya rasa amat terharu apabila ramai pihak yang mengambil berat terhadap kesihatan anak saya, hanya Allah yang dapat membalas jasa baik anda semua,” katanya di sini semalam.

Terdahulu beliau menerima sumbangan RM15,000 daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) yang disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Penderitaan Muhammad Akmarul Haikal menjadi perhatian umum apabila kisahnya disiarkan media awal minggu ini dan pada Rabu lepas Naima Yuzi menerima sumbangan cek berjumlah RM5,000 daripada Pusat Zakat Melaka yang disampaikan Pengurus Besarnya Ismail Hasim.

Naima Yuzi berkata Muhammad Akmarul Haikal ketika dilahirkan kelihatan normal sebelum kerap muntah dan demam serta perut membuncit sebelum dirujuk ke Hospital Melaka, Hospital Kuala Lumpur dan PPUM sejak berusia enam bulan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati anaknya itu tidak dapat membuang air besar secara normal sementara perutnya membengkak serta punggungnya bernanah dan perlu menjalani pelbagai rawatan termasuk kimoterapi sebelum doktor membuat keputusan mengeluarkan usus besarnya pada usia lima tahun.

“Harapan saya dan suami hanya untuk melihat anak kami sihat dan dapat hidup normal seperti kanak-kanak lain serta berharap segala rawatan berjalan lancar,” katanya. — Bernama