Najib lancar tiga buku terbitan Inmind

0

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan tiga buku terbitan Institut Perkembangan Minda (Inmind) di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Buku berkenaan ialah Manual Aplikasi Seni Peperangan Rasulullah SAW Untuk Pengurusan Organisasi, Kaedah-Kaedah Membuat Keputusan Secara Islam dan Manual Penyelidikan Secara Islam.

Ketiga-tiga buku berkenaan amat tepat, wajar dihayati dan diamalkan oleh anggota UMNO dan umat Islam, kata Najib yang juga Presiden UMNO dalam ucapannya pada majlis itu.

Beliau berkata apa yang penting ialah kesiapsiagaan anggota UMNO dan umat Islam secara keseluruhannya, dan satu daripada dimensi itu ialah penambahan ilmu dan pengukuhan ilmu selain daripada tumpuan akidah dan mengamalkan syariat Islam.

“Tanpa ilmu, tidak mungkin kita akan jadi umat yang berjaya lagi cemerlang,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata agama tidak melarang menimba ilmu daripada mana-mana sudut.

“Ilmu peperangan Rasulullah SAW yang sarat dengan pengajaran, jika dihayati, boleh menjadikan anggota UMNO berjaya dalam peperangan dari aspek politik terutamanya kesiapsiagaan parti untuk menghadapi pelbagai cabaran,” kata Najib.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Dalam Negeri yang juga Pengerusi Biro Latihan UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata buku-buku berkenaan akan digunakan sepenuhnya oleh biro itu.

Buku Manual Aplikasi Seni Peperangan Rasulullah SAW Untuk Pengurusan Organisasi tulisan Aidit Ghazali, Ahmad Syahir Sarani dan Izhan Hamidi Ibrahim mengutarakan penelitian seni pemikiran dan strategi 28 peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW.

Buku Kaedah-Kaedah Membuat Keputusan Secara Islam tulisan Aidit Ghazali, Ahmad Syahir Sarani dan Mohd Affendi Othman pula menampilkan 250 kaedah yang berorientasikan prinsip dan pertimbangan Islam dalam membuat keputusan.

Buku Manual Penyelidikan Islam yang ditulis oleh Aidit Ghazali dan Ahmad Syahir Sarani mengandungi langkah-langkah untuk melaksanakan aktivitipenyelidikan yang berkesan menurut perspektif Islam. —Bernama