Skuad kriket Sarawak sedia memburu kejuaraan kriket di Kuala Lumpur

0

KUCHING: Skuad kriket Sarawak sedia memburu kejuaraan pada Kejohanan Kriket Kebangsaan Fast Track Innings 2014 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Disember depan.

Ini selepas mereka mendapat suntikan tajaan daripada syarikat pemaju YWP Property & Contruction Sdn Bhd berupa dana dan kelengkapan sukan untuk digunakan sepanjang kejohanan itu nanti.

Majlis penyerahan tajaan diadakan di pejabat syarikat itu disempurnakan oleh Pengarahnya, Michelle Yung bersama Presiden Persatuan Kriket Sarawak (SCA), Awang Mahyan Awang Mohamed dan Setiausaha Kehormat SCA, Gordon Chung.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pihak YWP Property & Contruction Sdn Bhd atas sokongan berterusan diberikan kepada skuad kriket Sarawak.

“Sumbangan ini akan menyuntik semangat pemain dan saya yakin mereka bersedia memberikan yang terbaik pada kejohanan itu nanti,” kata Awang Mahyan.

Sementara itu, Michelle berharap tajaan pihaknya itu dapat menjadi perangsang buat pemain kriket negeri membawa pulang kejuaraan berprestij itu ke Sarawak.

“Ini adalah tahun ketiga syarikat kami menaja skuad kriket Sarawak dan ia akan diteruskan pada tahun seterusnya sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan sukan tersebut,” katanya.

Katanya, selain sukan kriket syarikat itu juga menaja pelbagai kejohanan futsal di sini.

Kejohanan berprestij itu akan diadakan selama dua hari pada awal Disember namun tarikh sebenar masih belum ditetapkan.

Ia akan disertai sebanyak 12 pasukan kriket terbaik yang mewakili setiap negeri.