TLDM lancar penembakan torpedo Black Shark kapal selam KD Tun Razak

0

KOTA KINABALU: Kapal Selam KD Tun Razak (KD TRZ) semalam melakar sejarah apabila melaksanakan penembakan torpedo Black Shark di Perairan Laut China Selatan (LCS) pagi semalam.

Penembakan dari aset strategik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu mengenai sasaran permukaan yang disasar pada jarak dan kelajuan ditetapkan pada 11.20 pagi tadi.

Menurut kenyataan Sel Perhubungan Awam Markas TLDM semalam, KD TRZ melancarkan torpedo Black Shark ke sasaran permukaan iaitu sebuah feri penumpang yang mengenai dan memusnahkan struktur feri yang diubah suai untuk tujuan penembakan.

“Penembakan kali ini melakarkan sejarah, apabila buat julung kalinya kapal selam negara melaksanakan penembakan torpedo semenjak kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman (KD TAR) tiba di Pelabuhan Klang pada 3 Sept 2009.

“Selain itu, penembakan itu adalah yang julung kalinya bagi torpedo Black Shark sejak diperkenalkan oleh syarikat pengeluar torpedo Whitehead Alenia Sistemi Subacquei (WASS) dari Itali,” kata kenyataan itu.

Operasi penembakan itu melibatkan aset bantuan dari perkhidmatan TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai aset untuk keselamatan kawasan, tim sasaran, rakaman dan analisis selain penglibatan KD Jebat, KD Terengganu, KD Kasturi, KD Laksamana Tan Pusmah, helikopter Fennec, kapal penyelamat kapal selam Mega Bakti dan Bot Tempur CB 90 serta Tim Penyelam sementara TUDM yang turut terlibat ialah pesawat B 200T dan EC 725.

Menurut kenyataan itu kejayaan penembakan itu membuktikan kesiagaan ATM khususnya TLDM sentiasa di tahap tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara, sekaligus meletakkan TLDM antara pasukan tentera laut yang wajar digeruni di rantau ini. — Bernama