YIS dilancar bantu pelajar lanjut pengajian kemahiran, teknikal

0

KUCHING: Yayasan Pendidikan Industri Sarawak (YIS) kini dilan­carkan sebagai usaha membantu pelajar yang tidak mampu di negeri ini melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran dan teknikal.

Pelancaran yayasan itu disem­purnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun Ke-20 Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam kelmarin.

Penubuhan YIS untuk mem­bantu dari segi kewangan sep­erti biasiswa kepada pelajar yang tidak mampu melanjutkan pengajian mereka.

Tun Taib dalam ucapan peras­mian kagum dengan pencapaian PPKS yang dahulunya hanya sebuah pusat latihan kemahiran kecil kini menjadi tulang belakang penghasilan tenaga kerja mahir kepada Sarawak selari dengan hala tuju ekonomi negeri beras­askan industri.

“Setiap tahun PPKS melahir­kan 3,000 pelajar yang mahir dalam bidang teknikal dan sejak ia ditubuhkan selama 20 tahun, pu­sat ini telah melahirkan kira-kira 40,000 pelatih yang mempunyai sijil kemahiran dan diploma,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kejayaan melahirkan tenaga kerja terlatih menunjukkan dedikasi sesebuah institusi dalam memastikan kaedah latihan itu sesuai dengan kehendak pembangunan di negeri ini khususnya dalam industri.

Malah, Tun Taib berkata, den­gan wujudnya Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), ia sudah pastinya menyediakan peluang pekerjaan khususnya dalam bidang kemahiran dan teknikal.

“Tugas yang berat ini akan dipikul oleh PPKS dalam melatih tenaga mahir dan teknikal yang dilihat semakin hari semakin bertambah kerana keperluannya meningkat,” tambahnya.

Justeru, beliau yakin usaha mewujudkan YIS dapat menjadi pelengkap kepada pembangunan industri di Sarawak sekali gus mencorak masa depan negeri ini.

“Saya percaya dengan adanya sokongan daripada kerajaan negeri dan pusat tentu sekali kita akan dapat melihat pembangunan perindustrian akan terus berjalan dengan lebih lancar,” ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi PPKS Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata, institusi itu telah berjaya melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing bagi memudahkan industri dari dalam dan luar negara melabur di negeri ini.

Malah, beliau memberitahu kira-kira 65 peratus pelatih yang menamatkan pengajian di situ berjaya menempatkan diri dalam pekerjaan, manakala selebihnya melanjutkan pengajian ke pering­kat yang lebih tinggi.

Pada majlis itu, beliau tu­rut mengucapkan terima kasih kepada Tun Taib yang juga merupakan Penaung YIS di atas sumbangan RM100,000.

Hadir sama Setiausaha Kera­jaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Pembangunan Estet Perin­dustrian Datuk Peter Nansian Ngusie dan Pengarah Eksekutif PPKS Datuk Baharudin Abdul­lah.