Kementerian Pendidikan lancar Kluster Perkhidmatan Kewangan

0

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan semalam melancarkan Kluster Perkhidmatan Kewangan, kluster ke-10 yang ditubuhkan di bawah Program Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan berkata ICoE merupakan program ‘signature’ kementerian yang menjadi model kepada kejayaan hubungan kerjasama antara universiti dan industri.

Katanya program ICoE itu disokong syarikat peneraju yang dikenal pasti dan komited dalam sesebuah industri dan digerakkan oleh universiti peneraju dari kalangan institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Bagi Kluster Perkhidmatan Kewangan, ia diterajui Universiti Utara Malaysia dan disokong enam syarikat peneraju iaitu Deloitte Malaysia, Bank Simpanan Nasional, PricewaterhouseCoopers, OCBC Bank (Malaysia) Bhd, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan AmBank Group.

“Universiti peneraju memainkan peranan penting sebagai pembekal graduan yang akan menjalani latihan dan seterusnya bekerja dengan pihak industri yang terpilih,” katanya pada Majlis Pelancaran Kluster Kewangan dan Persidangan Tahunan ICoE di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Sektor IPTA) Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.

Siti Hamisah dalam pada itu berkata program ICoE dibentuk sedemikian rupa bagi melahirkan graduan yang memenuhi nilai tambah yang tinggi dan seterusnya menjadi aset yang boleh memenuhi keperluan industri.

Sebanyak 10 Kluster ICoE ditubuhkan sehingga kini iaitu Pemborongan dan Peruncitan, Automotif, Elektrik dan Elektronik, Minyak dan Gas, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Bioteknologi, Pembinaan, Hospitaliti dan Pelancongan, Penjagaan Kesihatan dan terbaharu Perkhidmatan Kewangan.

Sebanyak 55,256 orang pelajar dan 2,725 pensyarah disasarkan untuk mengikuti Program ICoE sehingga tahun ini.

Setakat September tahun ini, sebanya 37,120 pelajar dan 1,748 pensyarah dilatih dalam pelbagai kluster ICoE yang ditubuhkan sejak 2012.

Sebanyak 88.7 peratus daripada 3,117 pelajar tahun akhir yang dilatih telah mendapat pekerjaan pada tahun lepas dengan sokongan 120 buah syarikat daripada pelbagai sektor. — Bernama