KPM nafi kertas soalan Matematik SPM 2014 bocor

0

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) semalam menafikan berlaku kebocoran kertas soalan Matematik Kertas 2 Kod 1449/2 bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014.

Menurut kenyataan KPM khabar angin yang tersebar menerusi laman media sosial Facebook itu juga mendakwa peperiksaan bagi kertas terlibat akan diulang pada 5 Dis ini.

“KPM menegaskan dakwaan kebocoran kertas tersebut di Melaka, Selangor dan Sabah adalah tidak benar,” menurut kenyataan itu di sini.

Calon SPM menduduki kertas Matematik itu kelmarin. Sehubungan itu, peperiksaan SPM berjalan mengikut jadual.

Sejumlah 455,839 calon menduduki peperiksaan SPM 2014 di 3,655 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula 3 Nov lalu hingga 4 Dis depan.  — Bernama