Maraton terbesar di Bintulu

0

Kho

Sehingga 10,000 disasar sertai larian antarabangsa, 500 sukarelawan diperlukan

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

BINTULU: Seramai 5,000 hingga 10,000 pelari disasar untuk menyertai acara Maraton Antarabangsa Sarawak Bintulu 2015 anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan Asia Tourism Alliance Sdn Bhd sebagai pengurus acara rasmi pada 22 Mac tahun depan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Asia Tourism Alliance.com Kho Sze Min berkata, acara itu merupakan kali pertama diadakan di Bintulu yang merupakan bandar hab ekonomi di kawasan tengah Sarawak.

“Kami berharap dapat menarik penyertaan ramai peserta dari luar negara dengan sasarannya 30 peratus, selain peserta tempatan pada acara maraton tersebut,” ujarnya pada sidang media di Wisma Bintulu semalam.

Beliau berkata, melalui acara itu pihaknya akan berusaha mempromosikan Bintulu sebagai destinasi pelancongan sukan di Sarawak.

Katanya, pihak penganjur memerlukan sekitar 500 sukarelawan untuk membantu melancarkan pengendalian acara besar itu, termasuk bantuan daripada anggota polis, persatuan sukan, perubatan dan lain-lain.

“Justeru, pihak kami berharap acara itu bakal memberi manfaat kepada penduduk tempatan terutama dalam penyediaan makanan dan minuman untuk para peserta.

“Keutamaan kami juga adalah mempromosikan Bintulu sebagai salah satu pasaran untuk sektor pelancongan negara. Maklumat lanjut boleh layari laman sesawang www.AsiaTourismAlliance.com atau menerusi laman Facebook Asiatourismalliancecom atau www.ata.my,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Shukarmin Chasemon berkata, pihak BDA menyokong acara bertaraf antarabangsa itu.

“Bagi membantu koordinasi yang baik dalam penganjurannya, kami akan membantu melibatkan penyediaan pakej tertentu untuk peserta, antaranya penginapan hotel dan sebagainya,” jelasnya.

Menurutnya, acara julung kali itu juga seperti Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo Bintulu yang telah mencapai 10 tahun penganjurannya apabila berjaya menarik ramai peserta antarabangsa, selain Festival Kuih Bulan melibatkan penganjuran Larian Malam yang menarik penyertaan 3,000 pelari.

“Ini adalah masa untuk penduduk Sarawak turut serta bukan hanya untuk menang semata-mata, malah untuk keseronokan sama ada berlari sehingga tamat atau separuh larian antara lima kilometer atau lebih yang diperuntukkan,” katanya.

Beliau menambah, selain tenaga kerja asing dari Taman Perindustrian Samalaju, pihak penganjur turut menyasarkan penyertaan pelari dari Thailand, Singapura, Myanmar dan beberapa negara Asia lain.