Mohon ikuti program CAT di Kolej Sunway Kuching

0

CEBURI KERJAYA AKAUNTAN: (Dari kiri) Hanizam Hashim, Abdullah, Joseph Lim dan Bestari bersama tiga pelajar finalis CAT ketika sesi temu bual di Kolej Sunway Kuching, semalam.

Pendidikan perakaunan setahun itu amat baik, biasiswa daripada Yayasan Sarawak dan tajaan TERAJU

Oleh Nick Fletcher //

KUCHING: Pelajar lepasan SPM daripada kaum Bumiputera di negeri ini khususnya yang mendapat kelulusan A bagi subjek Matematik, Matematik Tambahan dan Bahasa Inggeris serta berminat terhadap kerjaya akauntan diseru memanfaatkan program Certified Accounting Technician (CAT) di Kolej Sunway Kuching.

Pengarah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Bestari Abrar Nasiruddin berkata, peluang pendidikan perakaunan selama setahun itu amat baik di mana pemohon yang layak akan menerima biasiswa daripada Yayasan Sarawak serta tajaan daripada TERAJU untuk Skim Latihan dan Pendidikan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

“Di bawah program ini, pelajar yang berjaya menamatkan pengajian akan bergelar akauntan bertauliah serta menikmati pendapatan yang amat baik,” ujarnya pada sesi temu bual di Kolej Sunway Kuching di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Program TERAJU Sarawak Hanizam Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Sunway Kuching Joseph Lim Jit Sek dan Penolong Pengarah Yayasan Sarawak Abdullah Abdul Gafor.

Menjelas lanjut, Bestari berkata pengambilan pelajar bagi program berkenaan telah bermula sejak tahun lepas, tetapi tidak menerima permohonan memberangsangkan daripada pelajar-pelajar yang layak.

Jelas beliau, ia disebabkan persepsi bahawa pilihan kerjaya bagi kebanyakan pelajar adalah sebagai doktor atau peguam, tetapi tidak akauntan.

“Maka, kami mahu meningkatkan kesedaran mengenai kerjaya akauntan dalam kalangan pelajar terutama di peringkat sekolah menengah bahawa ia sebenarnya memberikan nilai tinggi serta masa depan yang amat baik kepada seseorang yang bertauliah.

“Justeru, kami berharap akan lebih ramai pelajar tampil bagi mengikuti program CAT di Kolej Sunway Kuching,” katanya.

Menurut Bestari, statistik telah menunjukkan golongan akauntan Bumiputera negeri ini yang berdaftar di bawah ACCA hanya seramai 14 orang.

Jelas beliau, bilangan itu bersamaan 2.58 peratus daripada jumlah keseluruhan akauntan bertauliah dari negeri ini iaitu 542 orang.

“Visi TERAJU di Sarawak ialah untuk melahirkan sekurang-kurangnya 100 akauntan bertauliah ACCA di bawah program ini menjelang 2020,” katanya.

Sementara itu, Joseph Lim berkata setakat ini, jumlah pelajar yang mengikuti program CAT di Kolej Sunway Kuching ialah seramai 26 orang.

Tambah beliau, 26 orang diambil pada 2013, 10 (2014) dan seorang telah diluluskan untuk tahun depan.

“Daripada pengambilan pertama pada 2013, kami telah melahirkan seramai empat orang finalis iaitu pelajar yang berjaya menamatkan CAT dan diambil mengikuti program pembangunan karier dengan ACCA di bawah tajaan TERAJU,” katanya.

Untuk pertanyaan mengenai program CAT, sila hubungi Kolej Sunway Kuching menerusi talian 082-451221 atau berkunjung ke kampus kolej di Plaza Song, Jalan Song di sini.