Rundingan tuntutan royalti terus positif

0

UNTUK ALBUM: Adenan (lima kiri) bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-63 SCCI, malam kelmarin.

Keputusan setakat ini agak baik termasuk kontrak RM2.1b diberi kepada syarikat Sarawak

Oleh Mahathir Haroun //

KUCHING: Tuntutan Sarawak untuk royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus terus menampakkan perkembangan positif dengan beberapa perkara sudah diberi perhatian.

Biarpun masih di peringkat rundingan, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata keputusan rundingan setakat ini agak baik termasuk kontrak Petronas bernilai RM2.1 bilion diberikan kepada syarikat Sarawak.

Malah, menurutnya, penyediaan peruntukan sekurang-kurangnya RM50 juta untuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) setiap tahun dan penubuhan tabung pendidikan khas dan sekolah teknikal turut diberi perhatian.

“Pendekatan yang kita ambil untuk rundingan ini amat ringkas, minyak dan gas yang terdapat di negeri kita harus diberikan kepada kita.

“Kita tidak mahu sekadar menjadi penonton tetapi turut terlibat. Setakat ini, rundingan antara kita dan Petronas masih berjalan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-63 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) di sini, malam kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dan Pengerusi SCCI Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg.

Adenan menjelaskan, beliau setakat ini tidak dapat memberitahu secara lebih lanjut mengenai perkara tersebut, namun bakal mengumumkan berita gembira pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

“Pada Persidangan DUN akan ada berita baik diumumkan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan kerajaan negeri amat serius dalam memerangi rasuah kerana melibatkan kerugian besar kepada negeri ini.

“Biasanya, gejala rasuah ini melibatkan pembalakan haram yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kita.

“Oleh itu, tiga seminar diadakan dengan kerjasama Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan 1,500 pegawai penguat kuasa,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak adalah antara destinasi pilihan pelabur di Malaysia.

“Berdasarkan rekod Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA), negeri ini antara empat destinasi utama untuk pelaburan asing dan domestik sejak 2008,” kata Awang Tengah.

Dari Januari hingga Julai tahun ini, menurutnya, Sarawak menarik pelaburan modal bernilai RM7.78 bilion, kedua selepas Johor dengan RM18.66 bilion.

“Namun dari segi pelaburan asing, Sarawak berjaya menarik pelaburan lebih tinggi dengan RM7.5 bilion berbanding RM6 bilion untuk Johor.

“Majoriti pelaburan ini adalah di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE). Setakat ini SCORE berjaya menarik pelaburan berjumlah RM30.445 bilion,” tambahnya.

Majlis malam kelmarin turut memberi pengiktirafan kepada Awang Habiburllah Awang Ismail yang menerima Anugerah Usahawan Negeri Sarawak.

Pada usia 41 tahun, Awang Habiburllah sudah menempa banyak kejayaan dalam bidang perniagaan selain mendapat pengiktirafan daripada kerajaan atas sumbangannya.

Menubuhkan HMN Nadhir Sdn Bhd pada 2003, syarikat yang dimiliki Habiburllah itu terlibat dengan industri pembinaan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selain perkhidmatan komunikasi.

Menurutnya, penerimaan anugerah tersebut merupakan sesuatu yang membanggakan sepanjang terlibat dengan perniagaan.

“Saya memang bangga dengan kejayaan ini namun pada masa sama berasa risau kerana kebanyakan penerima anugerah ini merupakan mereka yang berpengalaman.

“Namun saya akan menjadikan anugerah ini sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, kelahiran anak pertama banyak memberi inspirasi kepadanya untuk terlibat secara lebih serius dengan alam perniagaan.

“Saya tidak mahu melihat kehidupan anak dan isteri saya susah. Jadi saya berusaha untuk mengubah nasib kami sekeluarga,” ujarnya.

Majlis turut menyaksikan Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi dinobatkan Usahawan Menyerlah Negeri Sarawak 2014.

Nobel Pang dan Troy Yaw Chee Weng turut menerima Anugerah Usahawan Negeri Sarawak.