Tiada laporan kes buli di Sekolah Henry Gurney

0

Abdul Basir menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang anggotanya yang juga fasilitator untuk anugerah berkenaan.

KENINGAU: Tiada laporan kes buli atau kes berkaitan dilaporkan setakat ini yang membabitkan para penghuni di dua buah Sekolah Henry Gurney di negeri ini yang boleh mengancam keselamatan sepanjang mereka berada di sekolah itu.

Pengarah Jabatan Penjara Sabah Timbalan Komisioner Abdul Basir Mohamed berkata, walaupun kesemua penghuni dikategorikan sebagai bermasalah di bawah kes juvana namun disiplin mereka di sekolah itu amat baik sebaik sahaja mereka menjalani sesi taklimat sebelum mereka dimasukkan ke sekolah itu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Gangsa Peringkat Negeri sabah bagi tahun 2014 anjuran bersama Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Negeri Sabah dengan kerjasama Jabatan Penjara Sabah di Sekolah Henry Gurney, di sini kelmarin.

Katanya, sekiranya ada penghuni berbuat demikian kepada penghuni lain pihaknya akan mengenakan tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada.

Selain itu katanya, pihak Jabatan Penjara sentiasa membantu para pelajar di sekolah itu dalam memberi pendedahan kemahiran akademik berkaitan agar mereka juga mampu bersaing dengan masyarakat luar sekali gus menjadi insan yang berguna pada masa akan datang.

“Tanggungjawab kami di sini memberi penekanan terhadap pemulihan, latihan kemahiran dan mempertingkatkan taraf pendidikan agar mereka dapat mengenal pontensi diri dan terus bangkit serta insaf atas kesilapan lalu dan ia perkara yang amat merugikan masa depan mereka,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya juga turut mengalu-alukan sokongan dan sumbangan daripada pelbagai pihak dalam menjalani fasa pemulihan para penghuni dan bukan di sebaliknya seperti menyisihkan mereka.

“Sesungguhnya, Jabatan Penjara sangat menitikberatkan potensi pelajar-pelajar di insitusi penjara dengan menekankan aspek kerohanian dan keperibadian yang unggul kerana golongan belia adalah modal insan negara yang tidak ternilai dan tingkahlaku serta corak pemikiran mereka hari ini akan menentukan hala tuju negara di masa akan datang.

“Penyertaan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO), syarikat-syarikat swasta dan orang perseorangan adalah amat penting agar mereka dapat menjadi insan yang berguna dan cemerlang apabila bebas kelak,” jelasnya.

Terdahulu ketika merasmikan majlis itu, Abdul Basir berkata pentauliahan anugerah yang diberikan itu merupakan pendekatan yang sesuai bagi para penghuni di sekolah itu agar penglibatan mereka dapat mendekati masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan sekali gus mengubah persepsi negatif masyarakat luar terhadap para penghuni.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Sabah Asmah Ajem berkata, untuk penyampaian anugerah itu penilaian anugerah adalah berdasarkan pemeriksaan buku diari peserta tahap gangsa yang terdiri remaja berumur 15-25 tahun yang telah disahkan memenuhi kesemua komponen yang telah ditetapkan dan seterusnya pengesahan daripada badan operasi.

Katanya, hanya peserta tahap gangsa yang layak sahaja akan ditauliahkan dalam majlis petauliahan itu mengikut komponen khidmat masyarakat, kemahiran, rekreasi fizikal dan penjelajahan lasak anugerah itu adalah memberi pengiktirafan dan pentauliahan peserta anugerah yang telah berjaya menamatkan semua komponen.

Ia juga menggalakkan penyertaan remaja dalam kerja-kerja sukarela dan kemasyarakatan dan melahirkan kumpulan remaja yang berkualiti, proaktif dan mahir melalui komponen-komponen anugerah berdasarkan piawaian Badan Berkuasa Antarabangsa.

Justeru katanya, dengan adanya pelaksanaan program penganugerahan di peringkat Sekolah Henry Gurney adalah diharapkan aktiviti yang melibatkan kerja-kerja sukarela khususnya dalam program remaja perdana rakan muda dapat dipertingkat dan dipergiatkan lagi.

Dalam pada itu katanya, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan bagi memangkin pelaksanaan program pembangunan rakan muda di negara ini selaras dalam pembangunan modal insan.

Pada program itu, seramai 77 pelajar lelaki dan wanita daripada Sekolah Henry Gurney Keningau dan Sekolah Henry Gurney Wanita Kota Kinabalu telah menerima Sijil Pengiktirafan Tahap Gangsa, Medal Anugerah Gangsa dan Pin Anugerah.