Empat kanak-kanak disyaki diabai ‘takut’ pulang ke rumah

2

SIBU: Empat kanak-kanak disyaki diabai penjaganya di Sibu Jaya ‘takut’ pulang ke rumah.

Salah seorang daripada kanak-kanak bernama Menai berkata, wanita yang tinggal bersama mereka di rumah bukan ibunya.

Menurut Menai, 7, wanita dikenali sebagai Senah merupakan ibu kepada tiga kanak-kanak yang lain bernama Iyen, 7, Icah, 6, dan Olivia, 2.

Katanya, dia (Senah) bekerja di pusat hiburan.

“Ibu saya bernama Josephine tetapi dia tidak pernah pulang,” katanya ketika ditemui di wad kanak-kanak Hospital Sibu semalam.

Turut melawat mereka dan menghulur sumbangan di Hospital Sibu semalam Temenggung Vincent Lau dan Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce.

Kanak-kanak perempuan terbabit ditemui merayau-rayau di sekitar kawasan komersil Sibu Jaya oleh dua orang anggota polis jam 3.30 petang Sabtu lalu.

Meraka dikatakan membawa dua beg plastik, dua batang payung dan wang kertas permainan ‘Monopoly’ bernilai RM70.

Menai paling petah bercakap di kalangan mereka berempat berkata, seorang pekedai menolak wang tersebut semasa mereka mahu membeli makanan menggunakan wang kertas ‘Monopoly’ itu.

Selain meluahkan perasaan dan cerita mereka, kanak-kanak tersebut juga menunjukkan bekas luka kepada media.

Menai mempunyai parut di dahi yang didakwanya dipukul dengan batang penyapu.

Iyen mempunyai kesan luka di bahagian belakang sementara Ecah mempunyai bekas lecur lama di dada dan belakangnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Mohd Kamal Kordi berkata kanak-kanak berkenaan dikenali Cathrine Junai Michael (Iyen), Melisa Michael (Ecah), Oliviarina Dayang (Olivia) dan Rebecca Seja Josephine (Menai).

Katanya, penjaga mereka merupakan seorang wanita berumur 31 tahun membuat laporan polis pada 9 November lalu selepas dia mendapati mereka hilang.

“Wanita tersebut mengambil mereka sebagai anak angkat sejak 2013 daripada seorang saudara terdekat. Mereka kini di bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.