Terdapat 7,059 ekor kerbau di Sarawak

0

KUCHING: Bilangan kerbau di seluruh negeri pada masa ini dianggarkan berjumlah 7,059 ekor, kata Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang) Datuk Sylvester Entri Muran.

Untuk meningkatkan bilangan kerbau, beliau berkata, Jabatan Pertanian Sarawak telah dan sedang melaksanakan beberapa program serta projek.

Menurutnya, ia merangkumi pembangunan stesen ternakan kerbau di Meragang untuk pembiakan dan latihan selain unit ternakan komersial yang bertindak membantu usahawan kerbau.

Inisiatif lain yang dijalankan termasuk mewujudkan unit ladang ternakan untuk meningkatkan prasarana di peringkat ladang dan skim jualan ternakan yang membekalkan baka kerbau berkualiti dengan harga subsidi.

“Kerajaan melaksanakan banyak inisiatif untuk membantu usahawan kerbau di negeri ini.

“Pelbagai projek dan program diperkenalkan Jabatan Pertanian Sarawak untuk membantu mereka (usahawan kerbau),” katanya ketika menjawab pertanyaan Dr Abdul Rahman Ismail (BN-Bukit Kota) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Dr Abdul Rahman bertanyakan mengenai usaha kerajaan membantu penternak kerbau khususnya bagi menambah bilangan kerbau di Limbang.

Menurut Entri lagi, Jabatan Pertanian Sarawak juga mencadangkan Program Pembangunan Ternakan Kerbau di Sarawak bagi meningkatkan bilangan kerbau.

“Cadangan ini akan dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11),” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sehingga kini kerajaan membina 621 rumah kos rendah di Saratok.

“Kerajaan akan membina 68 unit lagi Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) pada tahun depan,” jelasnya.

Tambahnya, kementerian juga mengarahkan Perbadanan Perumahan Sarawak (HDC) untuk membuat kajian lanjut tentang permintaan perumahan di kawasan Saratok untuk perancangan perumahan baharu pada masa depan.

Karim berkata demikian ketika menjawab soalan Ali Biju (PKR-Krian) mengenai rancangan kerajaan untuk membina lebih banyak rumah kos rendah di Saratok.