51 penghuni PPR di Sabah diusir

0

Didapati menyewakan rumah PPR kepada pihak ketiga, kata Zakaria

KOTA KINABALU: Seramai 51 penghuni rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh Sabah telah diusir selepas didapati menyewakan rumah itu kepada pihak ketiga, kata Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Zakaria Edris.

Beliau berkata 34 kes penyewaan dan pengusiran berlaku di Majlis Daerah Tuaran, 15 kes di Majlis Perbandaran Tawau dan dua kes di Majlis Perbandaran Sandakan.

“Kesemua penghuni PPR berkenaan telah diusir dan rumah PPR tersebut telah diperuntukkan kepada penyewa baharu,” katanya menjawab soalan Datuk Abdul Muis Picho (BN-Sebatik) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Menurut Zakaria kementeriannya dan Jabatan Perumahan Negara akan terus mengadakan lawatan dan bancian rumah ke semua rumah PPR di seluruh Sabah, selain pemantauan oleh Pihak Berkuasa Tempatan, untuk memastikan tiada  penghuni yang menyewakan rumah PPR kepada orang lain.

Beliau menjelaskan peng-huni rumah PPR yang didapati menyewakan rumah mereka kepada pihak ketiga biasanya akan diberikan notis mengosongkan rumah dan akan disenaraihitamkan daripada mendapat rumah PPR dan rumah kos rendah pada masa akan datang.

Sementara itu, Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Masiung Banah berkata seramai 1,086 pelajar berumur 12 hingga 15 tahun telah diuji di bawah Program Cari Juara dan daripada jumlah itu 386 orang telah dipilih untuk dimasukkan ke 44 Pusat Latihan Negeri di seluruh Sabah.

Beliau berkata 62 jurulatih bertauliah dan berpengalaman di pusat latihan berkenaan akan memberi latihan sukan serta aplikasi sains sukan sebelum mereka dihantar menyertai pertan-dingan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Pelajar-pelajar ini juga berpeluang dimasukkan ke empat buah Sekolah Sukan iaitu Sekolah Sukan Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Sekolah Sukan Malaysia Gambang (Pahang), Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (Johor) dan Sekolah Sukan Malaysia Sabah. — Bernama